Bila artis kena scam, kami dituduh tidak pandai – Naqiu - Utusan Malaysia

Bila artis kena scam, kami dituduh tidak pandai – Naqiu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEKAD mendedahkan mengenai penipuan seorang individu lelaki sehingga menyebabkan dirinya menanggung kerugian hampir RM100,000, penyanyi, Naqiu, mengakui ada sebab tersendiri mengapa akhirnya berani menyuarakan perkara itu kepada umum baru-baru ini.

Tiada niat mahu berlagak bagai hero, tetapi bagi Naqiu atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, seseorang perlu berdiri menegakkan keadilan sekiranya sedar diri sudah ditipu hidup-hidup oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bagi vokalis kumpulan Boboy ini, apa yang berlaku terhadap dirinya bukan satu perkara yang ringkas atau mainan apatah lagi jika ia sudah mengganggu kesihatan mentalnya secara tidak langsung.

Mengakui bahawa isu ditipu oleh individu mengaku dirinya penyanyi dan ‘orang industri seni’, Naqiu juga terkilan kerana pemangsa turut menggunakan namanya untuk tujuan dan kepentingan peribadi.

“Memang benar, ini bukanlah kali pertama saya kena scam. Pernah sahaja saya ditipu untuk konsert, malah banyak kali pula itu. Boleh dikatakan tiga bulan sekali akan ada sahaja orang begini.

“Datang jumpa saya, janji itu ini, nak buat konsertlah dan sebagainya, tetapi hujung-hujung tiada pun. Mereka ini seolah-olah datang jumpa sebab nak melepak sahaja, bual kosong dan cakap itu ‘mesyuarat’.

“Sudahnya masa saya terbuang dan kehadiran saya bertemu mereka itu seolah-olah ‘penampilan secara percuma’ sahaja,” katanya dalam nada kecewa.

Mengakui sudah tiada kata-kata untuk mengulas mengenai isu penipuan tersebut, Naqiu lebih selesa menyerahkan urusan itu kepada peguam bagi menuntut keadilan mengikut undang-undang.

Bagaimanapun, amat mustahil untuk dirinya membuang perasaan bengang dan kecewa memandangkan individu itu juga seakan tidak menyedari kesilapan diri selain berani mencabar pihaknya pula.

“Saya sebenarnya, tergerak hati dan bersedia untuk membesarkan perkara ini disebabkan rasa tanggungjawab. Golongan macam saya, artis dan selebriti ini sebenarnya adalah sasaran paling mudah oleh scammer.

“Sebenarnya, ramai sahaja artis yang terkena tetapi mungkin ada yang enggan hebahkan. Bayangkan, kalau artis itu yang digelar penipu atau scammer, semestinya orang ramai akan ‘tembak’ kami gila-gila punya.

“Tetapi kalau kami yang artis atau selebriti ini ditipu, tiada siapa pun ambil peduli. Kalau ada antara kami yang jadi mangsa, orang cakap kami tidak pandai, persoalkan kenapa tidak siasat dulu, macam-macam,” katanya.

Luah Naqiu lagi, disebabkan itu, dia percaya, nasib malang yang dialaminya ini perlu diuar-uarkan kepada umum supaya dapat dijadikan pengajaran atau sekurang-kurangnya dapat membantu mengelak pihak lain terkena atau ditipu oleh orang yang serupa atau seangkatan dengannya.

“Saya rasa bertanggungjawab jugalah untuk mewakili kawan-kawan lain yang mungkin pernah terkena. Saya tahu ramai sahaja yang terkena macam saya cuma mereka tak mahu hebohkan. Kebanyakan mereka, terutama penyanyi macam saya, dia akan fikir hal ini tiada kena-mengena dengan kerjaya nyanyian.

“Sebenarnya salah fikiran itu. Kita kena beritahu kepada umum sebagai pengajaran dan elak orang lain juga jadi mangsa,”katanya.

PERNAH BERBINCANG
Dalam pada itu, jelas Naqiu, dia juga pada asalnya enggan mengaibkan pihak terbabit, namun mengambil pendekatan untuk enggan lagi memberi muka setelah pelawaan untuk bertemu atau berbincang tidak disambut dengan baik oleh pihak berkenaan.

“Bukan tak pernah ajak dia berjumpa dan berbincang. Sudah berbulan-bulan lamanya saya dan pihak pengurusan cuba ajak duduk semeja bertemu muka. Tetapi nampaknya, ajakan secara baik itu adakalanya dibalas dengan cabaran.

“Saya pun bukannya budak-budak. Pasukan saya pun sudah macam keluarga sendiri, jadi kami buat keputusan untuk tegakkan keadilan mengikut undang-undang,”katanya.

Terdahulu, pada 22 Januari lalu, Naqiu dalam sebuah sidang media nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang mengambil kesempatan dan didakwa menipu sehingga menyebabkan kerugian hampir RM100,000.

Antara tindakan awal yang diambil adalah dengan menghantar surat tuntutan (LOD) kepada individu terbabit pada hari yang sama.

Menurut Naqiu, dia juga kesal apabila individu terbabit mendakwa sudah membuat bayaran dan memaksanya melakukan projek pembikinan sebuah single selain menggunakan namanya untuk tujuan promosi.

Dalam masa sama, Naqiu memaklumkan pengurusannya iaitu Mindorder turut menerima nasib sama dan turut menghantar LOD kepada individu terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya