Bicara Muhyiddin bermula 17 September

Bicara Muhyiddin bermula 17 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 11 hari perbicaraan kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Hakim Azura Alwi menetapkan perbicaraan kes itu bermula 17 September ini sehingga 15 Januari 2026.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihak pendakwaan akan mengemukakan 30 saksi bagi perbicaraan kes tersebut.

Antara saksi disenaraikan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu, peguam bela, Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin memohon meminta pihak pendakwaan untuk menyediakan penyataan saksi terutamanya bagi saksi penting sekurang-kurangnya empat minggu sebelum perbicaraan bermula.

Pada prosiding hari ini juga, pembelaan memohon agar mahkamah melepaskan sementara pasport Muhyiddin atas alasan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu perlu menghadiri persidangan di Belgium.

Permohonan itu dibenarkan dan Muhyiddin perlu memulangkan pasport berkenaan pada 3 Mac ini. Mahkamah turut menetapkan 14 Mei ini untuk pengurusan kes.

Muhyiddin ketika menjadi Perdana Menteri telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat, Nepturis Sdn. Bhd. serta Mamfor Sdn. Bhd. bagi sekutu parti itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi tiga lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara Kuala Lumpur, AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, di sini antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil atau RM5 juta atau mana-mana yang lebih tinggi.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya