Bicara lelaki Israel di Penjara Kajang

Bicara lelaki Israel di Penjara Kajang

KES perbicaraan lelaki warga Israel, Avitan Shalom akan dijalankan di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang, bermula Mac ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Perbicaraan kes lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 200 butir peluru akan dibicarakan di Penjara Kajang bermula Mac ini.

Perbicaraan juga akan didengar di hadapan hakim baharu iaitu Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh. Pada prosiding hari ini, mahkamah turut dimaklumkan peguam utama kes tersebut, Datuk Naran Singh juga telah menarik diri dari mewakili tertuduh.

Hari ini merupakan kali pertama kes itu disebut di Penjara Kajang berbanding di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini.

Kes itu sepatutnya mula dibicarakan di hadapan Hakim Norina Zainal Abidin pada 6 Januari lalu namun ditangguhkan atas ketiadaan jurubahasa.

Terdahulu, peguam bela, Jeffrey Ooi turut memaklumkan bahawa Avitan bersetuju untuk meneruskan perbicaraan dalam Bahasa Inggeris sekiranya tiada jurubahasa Ibrani yang berkelayakan.

“Saya telah menerima arahan dari anak guam untuk teruskan perbicaraan dalam Bahasa Inggeris jika masih tiada jurubahasa yang berkelayakan,” katanya.

Sebelum ini, perbicaraan telah ditangguhkan beberapa kali atas alasan tiada jurubahasa yang bertauliah untuk menterjemah keterangan saksi pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan maksimum enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar 6.46 petang, pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya