Bersatu gagal batal saman pemula Mohd. Azizi

Bersatu gagal batal saman pemula Mohd. Azizi

MOHD. AZIZI ABU NAIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini gagal untuk membatalkan saman pemula yang difailkan oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang mencabar penamatan keahliannya daripada parti itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas mendapati terdapat persoalan undang-undang yang perlu didengar dan diputuskan oleh mahkamah.

“Mahkamah mendapati cabaran yang dikemukakan oleh pemohon (Mohd. Azizi) terhadap status keanggotaan beliau dalam Bersatu telah menimbulkan isu-isu undang-undang dan fakta yang boleh dipertikaikan,” katanya.

Sehubungan itu mahkamah telah menetapkan 28 April ini untuk pendengaran saman pemula tersebut.

Sementara itu, pada prosiding sama, mahkamah membenarkan permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membatalkan saman pemula Mod. Azizi berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos 2024.

Kerusi DUN itu kemudiannya dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Rizwadi Ismail.

PRK tersebut diadakan selepas Bersatu mengumumkan kekosongan kerusi itu ekoran penamatan keahlian Mohd. Azizi selepas bekas ADUN itu menyuarakan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Hakim Roz Mawar, cabaran terhadap PRK itu sepatutnya dilakukan melalui petisyen pilihan raya dan bukannya melalui saman pemula.

“Isu (berkaitan PRK) telah menjadi akademik melainkan terdapat bukti berlakunya penipuan. Plaintif dalam kes ini juga mempunyai peluang (untuk mempertahankan kerusi DUN Nenggiri) tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian.

“Kegagalannya untuk bertanding dan ketiadaan bukti berlakunya penipuan menunjukkan cabaran yang dikemukakan tidak boleh dipertahankan.

Melalui saman pemula difailkan 24 Jun lalu, Mohd. Azizi memohon perisytiharan untuk menghentikan SPR daripada mengadakan PRK di kawasan DUN berkenaan dan memohon perisytiharan bahawa kerusi DUN itu adalah tidak kosong dan masih disandang olehnya.

Beliau menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung parti (ketika itu), Datuk Seri Hamzah Zainudin; Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan SPR sebagai defendan.

Mohd. Azizi juga memohon perisytiharan bahawa PRK bagi kerusi DUN Nenggiri tidak boleh dijalankan dan dilakukan oleh SPR kerana ia masih disandang olehnya.

Turut dimohon, perisytiharan bahawa pemecatan jawatan dan keahliannya dalam Bersatu melalui notis bertarikh 12 Jun lalu adalah pemecatan yang tidak sah.

Plaintif juga memohon perisytiharan bahawa Surat Makluman itu tidak sah dan batal, serta pemecatan jawatannya daripada Bersatu adalah berniat jahat.

Dalam tuntutan itu, Mohd Azizi menegaskan pindaan kepada Fasal 10 Perlembagaan Bersatu yang menetapkan keahlian seseorang akan dihentikan jika dia menyokong saingan politik, adalah tidak berperlembagaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya