ROMPIN: Isu keterjaminan makanan memerlukan perhatian serius demi memastikan rakyat menikmati akses kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, agenda keterjaminan makanan memerlukan pendekatan secara menyeluruh yang melibatkan kerjasama erat kerajaan, sektor swasta dan setiap individu.
Katanya, kerajaan pasti terus giat berusaha melalui pembangunan indikator khusus untuk mengukur tahap keterjaminan, memperkasa industri akuakultur dan memperluas sektor ruminan negara sebagai asas untuk sistem makanan yang kukuh.
“Kalau sebelum ini Felcra mengorak langkah besar dengan kejayaan dalam sektor ladang kelapa sawit, getah dan padi bagi mengurangkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar, kali ini Felcra terus membuka lembaran baharu melalui penglibatan dalam ternakan ayam pedaging.
“Saya yakin, tersedianya kompleks ternakan ayam berskala besar ini akan menyumbang kepada peningkatan pengeluaran domestik, sekali gus memastikan kestabilan bekalan makanan negara.
“Tahniah Felcra Berhad atas kejayaan membangunkan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging Secara Sistem Tertutup di Tanjung Seratus yang bakal menjadi projek perintis kepada lebih banyak ternakan ayam luar bandar,” katanya pada Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) Felcra Berhad di Tanjung Seratus di sini hari ini.
Felcra Berhad menyasarkan pengeluaran ternakan ayam pedaging 1.5 juta ekor setahun melalui pembinaan kompleks tersebut yang mampu menternak sehingga 1.5 juta ekor ayam setahun.
Kompleks seluas 20.2343 hektar itu beroperasi sepenuhnya pada Februari lalu dengan 10 buah reban ternakan yang setiap satu dapat menampung 30,000 ekor ayam setiap pusingan.
Projek mega ini dibangunkan menggunakan peruntukan geran berjumlah RM60 juta di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-12.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, penternakan ayam seperti itu akan diperluaskan daripada semasa ke semasa menyaksikan dua lokasi baharu sedang giat membangunkan projek seperti itu di Lipis dan Bagan Datuk, Perak.
Katanya, seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), beliau menyambut baik cadangan Felcra untuk menubuhkan Pusat Pemprosesan Minyak Masak di Bidor, Perak, menaiktaraf pusat benih padi menggunakan teknologi lestari, serta membina kilang pengampitan beras di Felcra Seberang Perak.
Katanya, inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja bertepatan agenda nasional untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara, malah membuka peluang kepada Felcra untuk terus unggul dalam sektor pertanian dan industri asas tani.
“Saya yakin Felcra mampu melaksanakan projek-projek ini dengan jayanya, rekod cemerlang dalam membangunkan ladang kelapa sawit dan mengoperasikan kilang pemprosesan minyak kelapa sawit mentah membuktikan kemampuan Felcra dalam industri ini.
“Felcra mesti terus melakukan anjakan, berinovasi dan meneroka peluang baharu untuk mengembangkan perniagaan sekaligus memberikan manfaat yang lebih luas kepada peserta dan negara,” ujarnya. – UTUSAN