KLANG: “Berhati-hati dalam perbuatan dan jangan menimbulkan kemarahan kaum lain.”
Itu tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar mengenai isu tular berunsur perkauman dan tidak sensitif oleh seorang penjual jagung bakar di Kota Warisan, Sepang, baru-baru ini.
Menurutnya, beliau setakat ini belum memperoleh maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan.
“Namun, sudah berkali-kali saya sebut (isu menyentuh sensitiviti kaum) bahawa kita kena berhati-hati dalam perkataan dan perbuatan.
“Isu kaum ternyata sensitif dan kita tidak mahu apa jua perkataan yang keluar menyebabkan kemarahan kepada kaum lain. Jadi, hormat dan menghormati itu amat diperlukan,” katanya selepas merasmikan program Jalinan Muhibbah Madani Tahun Baharu Cina di Bangunan Persatuan Hokkien Klang di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan satu notis berunsur perkauman tular di media sosial memaparkan sikap tidak sensitif seorang penjual jagung bakar dan mendapat kecaman umum.
Notis itu menunjukkan bahawa jagung berkenaan tidak dijual kepada salah satu kaum di negara ini.
Semalam, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang turut mengecam tindakan penjaja itu yang disifatkan boleh menggugat keharmonian kaum dan tidak dikompromi sama sekali.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, penganjuran program berkenaan selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan konsep perpaduan dan keharmonian sesama umat manusia.
“Kerajaan Madani sentiasa terus memfokuskan usaha untuk menyatupadukan semua kaum dan agama di Malaysia selain membantu golongan kurang bernasib baik.
“Tanpa perpaduan, tiada negara mana pun akan berkembang terutama dalam sektor ekonomi rakyat mereka dan perkara itu amat penting untuk dititikberatkan,” ujarnya. – UTUSAN