PUTRAJAYA: Orang ramai boleh mula mendapatkan beras putih tempatan (BPT) bersubsidi pada harga RM26 bagi 10 kilogram (kg) pada 1 Mac depan.
Bekalan beras itu akan berada di pasaran sedia ada di seluruh Semenanjung Malaysia dan turut dipasarkan di Program Jualan Rahmah Madani.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, sebanyak 24 juta kampit beras akan berada di pasaran Semenanjung Malaysia dalam tempoh enam bulan bermula Mac ini.
Beliau berkata, pembelian beras berkenaan bagaimanapun dihadkan kepada dua kampit sahaja dengan menggunakan pelbagai jenama pada harga subsidi RM26.
“Buat masa ini, tiada keperluan untuk keluarkan satu jenama khusus bagi BPT bersubsidi itu, sebaliknya ia akan dikenali dengan pelbagai jenama.
“Barangan keperluan harian itu diharap dapat memanfaatkan oleh 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin di negara ini termasuk 77,000 KIR miskin tegar di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, mengikut data sedia ada, golongan itu memerlukan dan bergantung kepada beras berkenaan.
Kerajaan sebelum ini sudah mengumumkan untuk membuat intervensi dengan subsidi khusus sebanyak RM150 juta bagi tempoh enam bulan bagi memastikan bekalan BPT mencukupi di pasaran.
Sementara itu, Badrul Hisham berkata, beliau mahu semua faham bahawa beras berkenaan bukan untuk diniagakan dan jika wujud elemen sedemikian, pihaknya tidak akan berdiam diri.
Jelasnya lagi, pihaknya juga akan memastikan BPT bersubsidi ini hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja dan bukannya warga asing.
“Keutamaan kita ialah warga tempatan iaitu kumpulan isi rumah yang miskin dan miskin tegar. Harga RM26 sekampit itu hanya untuk rakyat kita sahaja.
“Duit hasil pembayar cukai sepatutnya dikembalikan kepada rakyat kita. Warga asing boleh beli beras lain selain beras khas ini,” katanya. – UTUSAN