ALOR SETAR: Impian kerajaan negeri untuk mengeluarkan Beras Kedah seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tahun lalu, dijangka dapat dicapai pada penghujung 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab. Ghani berkata, buat masa ini pihak terlibat sedang melakukan kajian mengenai varieti padi yang sesuai digunakan untuk menghasilkan beras berkualiti.
“Proses untuk menghasilkan beras seperti dihasratkan kerajaan negeri memang memakan masa sebab penanaman padi itu sendiri memerlukan masa antara empat ke lima bulan bagi membuahkan hasil.
“Buat masa ini terdapat tapak seluas lebih 20 hektar di Tobiar, Pendang yang dijadikan tapak kajian untuk mencari varieti paling baik bagi menghasilkan Beras Kedah. Kawasan itu merupakan bendang terbiar yang mana tahap kesuburan tanahnya antara paling teruk.
“Jadi kalau dapat hasilkan varieti terbaik di situ, bermakna padi jenis itu boleh ditanam di mana-mana kawasan pun dalam negeri ini,” katanya selepas membuat lawatan kerja ke Ladang Mempelam Usima Agriculture Sdn. Bhd di Tajar di sini, hari ini.
Pada Februari 2024, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri memiliki perancangan untuk mengeluarkan Beras Kedah bagi dijual pada harga lebih murah, berbanding kadar semasa pada waktu itu.
Dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah tidak lama selepas itu, Muhammad Sanusi mendakwa, terdapat pihak tertentu yang cuba menghalang usaha kerajaan negeri mengeluarkan beras itu.
Tambah Dzowahir, ketika ini jangka hayat varieti padi MR297 sudah hampir berakhir menyebabkan varieti baharu perlu dicari untuk menggantikannya, sekali gus menjamin kualiti Beras Kedah.
“Sebab itu kita buat uji kaji dengan kerjasama universiti tempatan serta pemain industri. Insya-Allah kita sasarkan pada 2026, kita akan dapat melihat Beras Kedah,” katanya. – UTUSAN