PETALING JAYA: Penetapan semula kadar zakat fitrah berdasarkan gred beras yang dimakan umat Islam diserahkan kepada kebijaksanaan jawatankuasa fatwa dan majlis agama islam setiap negeri selepas wujudnya isu campuran beras.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kadar zakat fitrah yang ditetapkan ketika ini adalah berdasarkan keputusan fatwa terdahulu.
Katanya, sebarang perubahan akan dipertimbangkan jika perlu.
“Penetapan kadar fitrah dibuat berdasarkan harga beras pada waktu fatwa itu dikeluarkan. Jika ada keperluan untuk kaji semula, perkara ini akan dibawa ke perbincangan jawatankuasa fatwa dan majlis agama islam negeri-negeri.
“Sekiranya perkara ini telah terbukti, ia boleh dikaji dan dipertimbangkan semula, namun bukan dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah The Malaysia Book of Records, Ayam Gepuk Pak Gembus di sini, semalam.
Sebelum ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mendedahkan sekitar 40 hingga 50 peratus beras import daripada 5,000 sampel yang dianalisis disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Ia sekali gus menokhtahkan spekulasi bahawa BPT telah dicampur dalam kampit beras import sebelum dijual di pasaran.
Sementara itu, Mohd Na’im menegaskan, kadar zakat fitrah kekal dan tiada perubahan seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.
“Ini bermakna, ketika fatwa dikeluarkan, kadar zakat fitrah sebanyak RM7, RM15 dan RM22 telah ditetapkan berdasarkan gred beras yang digunakan pada waktu itu,” jelasnya. – UTUSAN