Belajar ilmu angkasa sambil berseronok di Planetarium Negara

Belajar ilmu angkasa sambil berseronok di Planetarium Negara

RUANG pameran interaktif digital baharu yang terdapat di Planetarium Negara . – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMINAT bidang astronomi kini berpeluang meneroka angkasa lepas dengan lebih dekat menerusi dua bilik pameran bertema baharu yang disediakan di Planetarium Negara iaitu sebuah pusat pendidikan tidak formal dalam bidang angkasa.

 

Pameran tersebut menjanjikan pengalaman unik dengan membawa semua pengunjung tidak mengira usia untuk menjelajah angkasa dari perspektif yang belum pernah dilihat sebelum ini.

Pengarah Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, antara tarikan utama adalah koleksi eksoplanet yang telah ditemukan oleh para saintis, selain peluang meneroka sistem suria dan galaksi Bima Sakti secara interaktif menggunakan teknologi terkini.

ZAMRI SHAH MASTOR

Katanya, pameran turut menawarkan pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, termasuk memahami evolusi bintang menerusi aktiviti permainan interaktif.

PEMANDNAGAN luar Planetarium Negara.

 

“Pusat ini sebenarnya telah beralih kepada konsep pameran digital sejak tahun lalu bagi menggantikan bahan interaktif fizikal sebelum ini yang mudah rosak.

PENGUNJUNG merasai sendiri pengalaman bilik antigraviti yang terdapat di Planetarium Negara.

 

“Idea ini selari dengan trend digital semasa dan bertujuan memperkenalkan pengalaman pameran yang lebih moden serta berkesan.

“Sambutan cuti sekolah masih memberangsangkan dengan kehadiran ramai pengunjung, termasuk rombongan sekolah yang datang dengan bas setiap hari,” katanya ketika ditemu bual Utusan Pelajar.

Mengulas lanjut tentang apa yang terkandung dalam pameran tersebut, Mohd Zamri berkata, beliau ingin memastikan bahawa pengalaman di Planetarium bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga mendidik selari dengan keperluan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negara ini.

Katanya, antara elemen baharu yang akan diperkenalkan termasuk penggunaan teknologi realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR) bagi memberikan pengalaman yang lebih menarik kepada pengunjung khususnya pelajar.

“Kami ingin membawa pengunjung seolah-olah berada di angkasa lepas, mengalami sendiri persekitaran planet lain dan memahami bagaimana kehidupan di luar bumi mungkin berfungsi.

“Pameran tersebut memaparkan maklumat terkini mengenai eksplorasi angkasa lepas, termasuk perkembangan misi Artemis ke Bulan serta eksplorasi planet Marikh oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) dan agensi angkasa lain.

 

“Maklumat yang dipamerkan akan dikemaskini selaras dengan perkembangan terkini, supaya masyarakat mendapat gambaran sebenar tentang kemajuan sains angkasa,” katanya.

 

Dalam pada itu, Mohd Zamri berkata, Planetarium Negara kini turut memperkenalkan dua tayangan baharu, iaitu The Hot and Energetic Universe dan Kids The Cats: Supermoon Adventure.

Katanya, dokumentari pertama menerangkan bagaimana saintis mendapati alam semesta dipenuhi tenaga tinggi seperti sinar-X, menunjukkan bahawa ia panas dan penuh aktiviti.

“Tayangan kedua pula merupakan animasi interaktif yang mengisahkan kucing berevolusi menjadi spesies pintar yang membersihkan sampah angkasa yang ditinggalkan manusia, sambil meneroka bulan dan belajar tentang kesan eksplorasi angkasa.

“Kedua-dua tayangan ini disediakan dalam bahasa Inggeris dengan sarikata, sesuai untuk semua peringkat umur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN