PETALING JAYA: Bekas wartawan Utusan, Muhammad Basir Abu Bakar, 46, meninggal dunia di Hospital Serdang petang semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh waris Allahyarham.
Muhammad Basir menghembuskan nafas terakhir di wad Unit Penjagaan Kritikal (CCU) Hospital Serdang.
Beliau beberapa hari lalu turut membuat hantaran di Facebook memaklumkan perlu dirawat di Hospital Serdang ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
Difahamkan, beliau mengalami masalah jantung dan disahkan mengalami beberapa komplikasi lain termasuk hati dan buah pinggang.
Allahyarham pernah bertugas di akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia.
Isteri beliau, Allahyarham Noor Azlina Jaafar yang juga bekas Jurufoto Utusan meninggal dunia pada Oktober 2023.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merakam ucapan takziah kepada keluarga Muhammad Basir di atas pemergian Allahyarham.
“Saya memanjatkan doa kepada Allah SWT agar kurniakan ketabahan serta kekuatan terhadap anak-anak mereka yang kini berusia 15, 13 dan 10 tahun,” katanya dalam Facebook beliau.
Allahyarham meninggalkan tiga orang anak.