Bekas suami Jahidah mohon tangguh hukuman penjara 10 tahun

Bekas suami Jahidah mohon tangguh hukuman penjara 10 tahun

ROSMAINI Abd. Raof mengemukakan permohonan penangguhan hukuman penjara yang dihadapinya atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas isterinya sehingga koma di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

JOHOR BAHRU: Bekas suami seorang wanita yang dibelasah sehingga koma mengemukakan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atasnya pada 9 Disember tahun lalu di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar menetapkan 25 Februari ini bagi membuat keputusan permohonan yang dibuat Rosmaini Abd. Raof, 42, sementara menunggu rayuan terhadap sabitan dan hukuman didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.

Abu Bakar menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd. Said dan Siti Fatimah Yahya dan peguam bela, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin yang mewakili Rosmaini.

Kamal Hisham berhujah wujudnya keadaan istimewa atau khas supaya perintah penggantungan pelaksanaan hukuman penjara itu diberikan terhadap pemohon.

“Keadaan istimewa itu adalah kesalahan pertama pemohon selain terdapat persoalan undang-undang yang rumit, iaitu percanggahan antara akuan bersumpah dan laporan polis oleh saksi pendakwaan yang perlu diputuskan mahkamah.

“Isu undang-undang ketiga adalah ketika perbicaraan kes ini di Mahkamah Sesyen tidak ada seorang pun saksi mata yang melihat kejadian itu dikemukakan pihak pendakwaan,” katanya.

Namun, Juanita menyanggah hujah pihak pembelaan bahawa keadaan itu bukannya istimewa atau khas, sebaliknya adalah keadaan biasa yang sudah diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen sebelum ini.

“Mangsa (Jahidah Nordin) dalam kes ini melahirkan bayinya dalam keadaan koma dan sehingga kini masih terlantar akibat kecederaan parah yang dialami. Kes ini telah mendapat perhatian dan menggoncang ketenteraman masyarakat dan ia masih diikuti orang ramai hingga kini.

“Jika mahkamah menimbangkan ia kesalahan pertama pemohon tanpa melihat keseriusan kes ini, dibimbangi ia akan menyebabkan kemarahan masyarakat, sekali gus merendahkan keyakinan mereka terhadap sistem kehakiman kita,” katanya.

Terdahulu, Rosmaini yang bergari diiringi pegawai penjara kelihatan tenang ketika hadir ke mahkamah bagi mendengar permohonannya.

Mahkamah Sesyen di sini pada 9 Disember tahun lalu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun selepas tertuduh didapati bersalah mencederakan isteri ketiganya sehingga parah.

Kes keganasan rumah tangga yang berlaku ke atas Jahidah yang kini terlantar koma seperti mayat hidup mendapat perhatian selepas dibelasah bekas suaminya itu dalam kejadian di sebuah rumah di Larkin, di sini, 4 Mei 2021.

Pada 29 November 2021, Jahidah selamat melahirkan melahirkan bayi lelaki secara pembedahan kira-kira pukul 9 malam di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, Negeri Sembilan.

Pada 15 Mac tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Seremban membenarkan permohonan fasakh yang dikemukakan keluarga Jahidah pada 1 Februari 2023.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN