KUALA TERENGGANU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda bekas Penolong Pengarah SME Corp. Terengganu sebanyak RM16,000 setelah dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan mengambil bahagian dalam perniagaan dan menerima suapan sebanyak RM7,700.
Halimah Musa Brahim, 47, didenda RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan turut dikenakan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Tertuduh didakwa mengambil bahagian dalam perniagaan iaitu melibatkan diri dalam Syarikat NDZ Creative Resources dan menyokong pengesahan kerja-kerja pembersihan pejabat antara tahun 2015 hingga 2016.
Bagi pertuduhan pilihan pertama, Halimah didakwa menyokong pengesahan kerja bagi September, Oktober dan November 2015 pada Perakuan Penerimaan Perkhidmatan/Bekalan bagi kerja Pembersihan Pejabat SME Corp Negeri Terengganu oleh Syarikat NDZ Creative Resources dengan jumlah keseluruhan RM3,300.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat SME Corp Malaysia Negeri Terengganu pada 1 Oktober hingga 1 Disember 2015.
Bagi pertuduhan pilihan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama dengan menyokong pengesahan kerja bagi Disember 2015, Ogos, September dan Oktober 2016 pada Perakuan Penerimaan Perkhidmatan / Bekalan bagi kerja Pembersihan Pejabat SME Corp Negeri Terengganu oleh Syarikat NDZ Creative Resources dengan jumlah keseluruhan RM4,400.
Kesalahan itu juga didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12 Januari hingga 1 November 2016. Halimah dituduh di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya. – UTUSAN