Bekas pengurus bank didakwa 58 pertuduhan rasuah

Bekas pengurus bank didakwa 58 pertuduhan rasuah

TERTUDUH diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan meminta dan menerima suapan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

MELAKA: Seorang bekas pengurus jualan di sebuah bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 58 pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM600,903 daripada dua firma guaman sebagai balasan membantu rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan antara 2017 dan 2022.

Tertuduh, Mohamad Faqih Mustapha, 36, mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah secara rasuah meminta suapan berjumlah RM305,465 daripada dua firma guaman sebagai dorongan membantu firma berkenaan diberikan rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan dengan sebuah bank.

Lelaki itu turut didakwa menerima suapan berjumlah RM295,438 daripada firma guaman sama sebagai upah membantu mendapatkan rujukan-rujukan kes berkenaan.

Kesalahan dilakukan di tiga lokasi berbeza iaitu di Maybank Cawangan Melaka Main, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) Cawangan Melaka dan sebuah restoran di Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah antara Jun 2017 hingga September 2022.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Pegawai Pendakwa SPRM Noor Julieana Yahaya mencadangkan jaminan berjumlah RM210,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di Pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sehingga kes selesai.

Peguam Andrew Lourdes dan Chua Yong Yi merayu jaminan berjumlah RM60,000 dengan alasan anak guamnya sudah 14 bulan tidak bekerja selain perlu menyara isteri dan tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM87,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan 11 April ini untuk sebutan semula kes.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN