Bekas pengerusi masjid tidak mengaku kemuka senarai asnaf tidak layak terima zakat - Utusan Malaysia

Bekas pengerusi masjid tidak mengaku kemuka senarai asnaf tidak layak terima zakat

HAMIZAN Amid dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pengerusi masjid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas empat pertuduhan mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak bagi agihan zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.

Tertuduh, Hamizan Amid, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.

Berdasarkan pertuduhan itu, Hamizan yang ketika itu bertugas sebagai Pengerusi Masjid Kampung Batu Putih di Kerteh, dekat sini, memperdaya seorang pegawai agama Badan Kebajikan Islam Petronas (BAKIP) berhubung agihan wang zakat wakalah.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai juruteknik kebakaran didakwa mengemukakan empat individu dalam senarai nama komuniti Kampung Batu Putih yang dikategorikan asnaf bagi sesi 2024 kepada pegawai agama tersebut.

Bagaimanapun, empat individu itu bukan berstatus miskin dan tidak layak menerima wang zakat tersebut.

Tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pegawai agama itu menyerahkan wang zakat sebanyak RM1,000 seorang kepada empat individu itu.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku pada bulan Mac 2024 di Kampung Batu Putih, Kemaman. Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Mac  ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya