KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara satu tahun dan satu sebatan kepada seorang bekas kakitangan kerajaan kerana menawarkan pelaburan tidak wujud, tahun lalu.
Hakim Azrul Darus memutuskan demikian setelah Mohd. Fikri Abdul Manan, 41, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Fikri telah menipu seorang pesara mengenai pelaburan projek ternakan ikan air tawar berjumlah RM110,030 pada pukul 9 malam, 18 April 2024 di sebuah kedai kopi berhadapan Hospital Tuanku Mizan, Wangsa Maju di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun atau tidak melebihi 10 tahun serta sebatan dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, M. Saravanan mencadangkan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
Mohd. Fikri yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan hukuman minimum dengan alasan mempunyai tanggungan keluarga dan tidak mempunyai pekerjaan.
Menurut fakta kes, selepas menunaikan solat jemaah di surau, Mohd. Fikri telah menjanjikan tawaran pelaburan dengan pulangan sebanyak 20 peratus kepada pengadu yang juga seorang pesara.
Pengadu dan Mohd. Fikri telah mengenali antara satu sama lain selama 10 bulan sebelum kejadian tersebut.
Mohd. Fikri kemudian mengeluarkan satu surat perjanjian untuk memulangkan semula duit pada kadar segara kepada pengadu namun tidak membayar seperti yang dijanjikan.
Hasial siasatan mendapati, duit pelaburan itu telah disalurkan menerusi 23 transaksi kepada akaun bank milik isteri tertuduh yang kemudian mengaku telah menyalahgunakan dana tersebut untuk kegunaan peribadi.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuatkuasa bermula hari ini. – UTUSAN