Bekalan air di Tapah, Hilir Perak pulih berperingkat mulai esok - Utusan Malaysia

Bekalan air di Tapah, Hilir Perak pulih berperingkat mulai esok

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (dua dari kiri) menunjukkan lokasi dua saluran paip bocor yang berlaku di Tapah pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Gangguan bekalan air yang berlaku di Daerah Batang Padang dan Hilir Perak akibat kebocoran dua saluran paip di Tapah, dijangka pulih secara berperingkat mulai esok.

Kawasan terjejas bekalan air di Batang Padang melibatkan Tapah Road, Changkat Petai, Tanjung Keramat, Air Kuning, Sungai Kroh, Kampung Tersusun Air Kuning, Chenderong Kelubi, SMTD, Jalan Temoh Station, Temoh serta kawasan sekitarnya.

Bagi kawasan Hilir Perak melibatkan Mukim Labu Kubong, Mukim Sungai Manik, Langkap, Chui Chak, Kampung Air Hitam, Changkat Jong, Jalan Padang Tembak, Kampung Banjar, Kampung Selabak, Kampung Bahagia, Jalan Maharajalela, Jalan Sultan Abdullah, Pekan Teluk Intan dan kawasan sekitarnya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pemulihan awal bekalan air di kawasan tersebut dijangka mencapai 50 peratus berdasarkan kerja-kerja pembaikan paip bocor akibat kejadian tanah runtuh di Taman Bunga Raya, Tapah.

“Lembaga Air Perak (LAP) telah melaksanakan kerja-kerja pintasan sepanjang 500 meter pada dua saluran paip yang mengalirkan air mentah dari muka sauk Batu 7 Sungai Woh dan Batu 10 Sungai Batang Padang ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Turut hadir Pengurus Besar LAP, Ir Lokman Abd Rahim dan Pengarah Negeri Wilayah Utara Cawangan Perak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Ir Ts Mohd Zaidi Mohamad Saad.

Menurut  Mohammad Nizar, seramai 50,000 pengguna terjejas akibat kejadian itu dan menjangkakan kerja-kerja baik pulih selesai hari ini.

Katanya, ini bagi membolehkan bekalan air disalurkan kepada sekurang-kurangnya 50 peratus pengguna esok manakala baki 50 peratus lagi dijangka pulih dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“LAP juga telah mengerahkan 23 lori tangki air, termasuk bantuan daripada operator air negeri, untuk membekalkan air bergerak ke kawasan yang terjejas, termasuk Hospital Tapah dan Hospital Teluk Intan,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan diberikan kepada kedua-dua hospital tersebut sementara sistem bekalan air dari LRA Hilir Perak diaktifkan untuk membantu menampung bekalan di Teluk Intan.

“Kami memohon maaf kepada semua pengguna dan kerajaan negeri memberi jaminan akan melakukan segala usaha untuk memulihkan gangguan bekalan air ini secepat mungkin,” katanya.

Kejadian tanah runtuh pada Isnin lalu menyebabkan tiga rumah di Taman Bunga Raya di Tapah mengalami keretakan serius dan berisiko untuk diduduki.

Kejadian itu juga merosakkan paip saluran air mentah milik LAP yang mengalirkan air ke LRA Bukit Temoh, mengakibatkan gangguan bekalan air di beberapa kawasan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya