KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Beego menafikan sudah menerima notis pemberitahuan mengenai proses sebutan pertama kes perceraian seperti yang dimaklumkan isterinya, Linda Hashim, hari ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, mengakui terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Linda kepada media di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pagi tadi.
“Salam semua, terkejut pagi tadi mendengar kenyataan isteri yang saya (telah) dimaklumkan tentang kes mahkamah.
“Tidak ada pemberitahuan dan notis dari pihak guaman Nurul (peguam syarie yang mewakili isterinya),” katanya.
Dalam masa sama, Beego turut berharap ada pihak guaman yang sudi mewakilinya bagi menguruskan kes perceraiannya.
“Ada mana-mana peguam yang boleh mewakili saya? Allahuakhbar,” katanya ringkas.
Hari ini, Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 41, yang hadir bersendirian di mahkamah memberitahu bahawa Beego sudah sedia maklum mengenai proses kes perceraian yang akan berlangsung pada pagi ini.
Kata Linda, pihak guamnya sudah menghantar notis tersebut selepas dia memfailkan perceraian terhadap Beego pada awal Januari lalu.
Difahamkan, keputusan Linda memfailkan perceraian buat kali ketiga itu kerana sudah tiada persefahaman meskipun telah rujuk semula pada 9 April tahun lalu.
Untuk rekod, Linda dan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu tiga orang cahaya mata Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6. -UTUSAN