Beberapa hospital swasta berisiko dinyahsenarai panel insurans

Beberapa hospital swasta berisiko dinyahsenarai panel insurans

Beberapa hospital swasta di negara berisiko dinyahsenarai daripada panel insurans ekoran kegagalan penuhi permintaan memberikan diskaun caj rawatan pesakit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa hospital swasta di negara berisiko dinyahsenarai daripada panel insurans susulan kegagalan memenuhi permintaan untuk memberikan diskaun caj rawatan pesakit.

Permintaan itu gagal dipenuhi dipercayai disebabkan permintaan diskaun caj yang terlalu tinggi oleh syarikat insurans.

Oleh yang demikian, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menasihatkan pelanggan perlindungan insurans untuk menyemak terlebih dahulu dengan penyedia insurans masing-masing mengenai status hospital yang masih tersenarai.

Katanya, semakan itu bagi mengelakkan sebarang masalah dihadapi pelanggan insurans ketika mendapatkan rawatan kelak.

Tambahnya, isu berkenaan boleh memberi kesan kepada akses rawatan pesakit dan berpotensi menyebabkan kelewatan yang kritikal kepada kesihatan mereka.

“Bagaimanapun, kami ingin menegaskan bahawa pesakit masih boleh mendapatkan rawatan di hospital swasta yang dikeluarkan daripada senarai panel insurans, namun mereka perlu membuat bayaran sendiri terlebih dahulu sebelum membuat tuntutan insurans.

“Hospital swasta yang tidak lagi berada dalam senarai panel insurans juga tidak akan menerima kemudahan tanpa tunai atau surat jaminan daripada syarikat insurans,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, hospital swasta sudah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengawal kos perubatan, terutamanya selepas pandemik Covid-19, dalam usaha menangani inflasi perubatan.

“Walaupun hospital ahli APHM sentiasa memberikan diskaun yang berpatutan kepada syarikat insurans, permintaan untuk diskaun yang terlalu tinggi adalah tidak mampan dan boleh menjejaskan kualiti rawatan yang diharapkan oleh pesakit,” katanya.

APHM turut memaklumkan hospital swasta terus komited untuk menyediakan rawatan berkualiti tinggi dengan teknologi perubatan terkini serta kepakaran bertaraf antarabangsa untuk rawatan kepada pesakit.

Malah, katanya hospital swasta melabur semula keuntungan tahunan dalam infrastruktur dan peralatan moden bagi meningkatkan keberkesanan rawatan.

“Ketika ini, APHM sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Bank Negara (BNM), dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mencari penyelesaian yang lebih telus dan kolaboratif dalam menangani isu inflasi kos perubatan.

“Kami akan terus berusaha untuk melindungi kepentingan pesakit dan memastikan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia berkembang secara mampan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN