JAKARTA: Penyanyi, Agnes Monica dikenakan hukuman denda 1.5 miliar (hampir RM410,000) kerana tanpa kebenaran membawakan lagu Bilang Saja dalam pertunjukkan di tiga buah lokasi beberapa tahun lalu.
Liputan6 melaporkan hukuman tersebut dijatuhkan selepas aduan difailkan komposer lagu tersebut, Ari Bias yang mendakwa penyanyi itu menyanyikan Bilang Saja dalam acara di Jakarta, Bandung dan Surabaya.
“Itu adalah denda, bukan royalti. Agnes menyanyikan lagu itu tanpa izin komposer.
“Agnes seharusnya meminta kebenaran sebelum membawakan lagu itu dalam mana-mana acara. Tugas itu bukan bidang kuasa penyelenggara acara.
“Tindakan ini diambil dibawah Akta Hak Cipta, yang merujuk Agnes sebagai pelakunya,” kata peguam, Minola Sebayang.
Dalam pada itu, Presiden Wahana Muzik Indonesia (WAMI), Adi Adrian, menyokong tindakan Ari yang menggukan lunas undang-undang bagi mempertahankan haknya selaku pemilik lagu tersebut.
“Kita perlu menghormati keputusan pemilik lagu yang mahu mempertahankan hak mereka.
“Kita ada undang-undang untuk mengendalikan isu seperti ini,” katanya kepada media tempatan, baru-baru ini.