PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpir (DBKL) membatalkan serta-merta lesen perniagaan bazar Ramadan jika didapati ada peniaga memindahkan lesen itu kepada pihak ketiga.
Perdana Menteri berkata, penguatkuasaan sedemikian perlu tegas dan pemberian lesen juga perlu diberikan secara terus kepada peniaga itu sendiri tanpa melalui mana-mana ejen atau wakil.
Menurut beliau, keadaan itu sudah berlarutan saban tahun apabila ejen-ejen itu ‘memakan’ komisyen yang besar dan ada penjawat awam tahu tentang kegiatan itu, malah bersekongkol.
“Kita kena pastikan, siapa yang dapat lesen, dia kerja. Kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera serta-merta. Ini memerlukan keputusan dan penguatkuasaan yang baik.
“Saban tahun kita tahu ada ejennya (pemberian lesen), ada komisyen besarnya. Jadi apa masalahnya untuk memberikan lesen perniagaan kepada orang yang berniaga Dan tidak melalui wakil-wakil.
“Kalau ada persatuan yang ambil berpuluh ringgit untuk pengawasan atau kebersihan, itu saya faham. Tetapi (lesen itu) dijual semula. Maknanya, penjawat awam terlibat itu tahu benar dan bersekongkol,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Anwar berkata, masalah kepincangan lesen bazar Ramadan ini diakui turut berlaku di semua kota di negeri-negeri lain berpuluh-puluh tahun bukan sahaja di Kuala Lumpur.
Justeru, beliau berharap pelaksanaan tegas di ibu kota akan menjadi contoh penguatkuasaan di tempat-tempat lain bagi membantu para peniaga untuk mendapat hasil dan upah yang tinggi bagi persiapan Aidilfitri.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan tentang banyak keterlanjuran dalam bidang penguatkuasaan apabila banyak kedai haram dan kehadiran pendatang asing yang telah membugar kawasan-kawasan perniagaan begitu besar.
Katanya, keadaan itu terbiar sekian lama dan apabila tindakan diambil ia nampak seolah-olah satu kegiatan sangat besar.
“Kalau kita biarkan keadaan itu jadi bobrok sedemikian, puluhan tahun diizinkan, jadi akhirnya tugas kita besar. Jadi sebab itu saya ingin menggesa dan menyokong langkah diambil supaya tegas dan kut peraturan, bukan bertindak ganas dan zalim.
“Jadi saya ini juga harus dilakukan di pelabuhan dan di lapangan terbang. Kita tengok beberapa sistem yang lebih kemas dan cekap sekarang tetapi tidak terlepas beberapa pelanggaran dan harus kita pantau pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN