BUTTERWORTH : Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol anak tirinya pada Oktober tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 53 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan yang merupakan anak tirinya ketika mangsa berusia 14 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10.30 malam hingga 11.30 malam di bilik tidur kediaman mereka di Jalan Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini, pada Oktober 2024.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas faktor hubungan tertuduh dengan mangsa dan mereka juga tinggal serumah.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan kes.-UTUSAN