TELUK INTAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol anak perempuannya dalam kejadian di sebuah rumah di Changkat Jong, November lalu.
Tertuduh berusia 57 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffuddin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah merogol mangsa yang ketika itu berusia 21 tahun di mana perhubungan tersebut tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat dan kebiasaan yang terpakai untuk berkahwin.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Kampung Baru Changkat Jong, Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak pada pukul 12.30 malam, November 2024.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak lebih 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Azalea Sharmeen Zaizan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 berserta syarat tambahan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai selain melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas alasan bekerja kampung dengan mengambil upah memotong buah kepala sawit dan meraih pendapatan bulanan sebanyak RM300.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Mac depan.
Media sebelum ini melaporkan, perbuatan keji seorang bapa yang disyaki melakukan sumbang mahram ke atas anak perempuannya sejak 10 tahun lalu terbongkar apabila lelaki terbabit ditangkap polis pada 22 Januari lalu.
Lelaki itu diberkas susulan laporan polis dibuat mangsa yang turut mendakwa diugut suspek supaya tidak mendedahkan kejadian menimpa dirinya kepada sesiapa. – UTUSAN