Bapa mohon cari gadis hilang dari asrama - Utusan Malaysia

Bapa mohon cari gadis hilang dari asrama

Nurkhairina Husna Junaidi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT:  Bimbang keselamatan anak gadisnya yang hilang selepas dipercayai keluar dari asrama sebuah sekolah di daerah ini, seorang bapa memohon bantuan orang ramai membabantu menjejaki remaja berusia 17 tahun itu.

Ahmad Firdaus Mohd Zain, 37, berkata, dia mengetahui kehilangan anak tirinya itu, Nurkhairina Husna Junaidi selepas menerima panggilan telefon daripada guru sekolah anaknya kira-kira pukul 11.30 malam Khamis lalu, yang memaklumkan dia tiada di bilik asrama.

“Kali terakhir dia menghubungi ibunya pada petang hari kejadian kira-kira pukul 3.30 petang menggunakan telefon awam supaya mengambilnya di asrama kerana enggan tinggal di sana.

“Rakan Nurkhairina Husna memaklumkan dia sebelum itu ada bersamanya sekitar pukul 9.40 malam sebelum memberitahu mahu ke bilik air untuk mencuci pakaian namun tidak kembali semula ke bilik asrama,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, Nurkhairina Husna sebelum ini tidak pernah tinggal di asrama namun tahun ini dia diwajibkan berbuat demikian kerana perlu fokus untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Jika diikutkan perancangan asal pagi Jumaat saya dan isteri mahu melawatnya di asrama serta membawanya keluar namun dia sudah hilang malam sebelumnya,” katanya.

Katanya,  setakat ini dia dan isterinya ada menerima beberapa panggilan daripada orang ramai yang menyatakan ternampak kelibat anak kedua daripada lima beradik itu di beberapa lokasi antaranya stesen bas Jertih.

Menurutnya, berdasarkan pemerhatian rakaman kamera litar tertutup (CCTV), anaknya itu kelihatan membeli tiket tetapi tidak menaiki bas berkenaan, ia mungkin kerana dia tidak mahu orang menjejakinya.

Ahmad Firdaus berkata, terbaharu dia menerima maklumat daripada seorang individu bahawa kelibat anaknya itu dilihat di sekitar Pantai Batu Buruk petang semalam.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh  mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan remaja perempuan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya