KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa banjir melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah agihan itu membolehkan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) membuat tuntutan BWI di bank.
Katanya, cara agihan BWI melalui sistem konvensional menerusi Pejabat Daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) tidak lagi digunakan.
Namun jelasnya, ada permintaan daripada kerajaan Sabah dan Sarawak agar mereka yang tidak berpindah ke PPS turut diberikan BWI dan perkara tersebut akan diteliti.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat dalam pada itu berkata, pada masa ini, kerajaan melalui Nadma, belum mampu menukar semua PPS di seluruh negara kepada pusat pemindahan kekal (PPK).
“PPK bukan hanya menyediakan kemudahan penempatan sebaliknya perlu dilengkapi kemudahan bilik air dan dapur supaya memudahkan pengurusan terutama dalam menghadapi pasca banjir.
“Untuk Sarawak, sebuah PPK akan diwujudkan di Belaga kerana kawasan itu kerap mengalami banjir,” katanya semasa melawat tapak projek Rancangan Tebatan Banjir Lido di sini semalam.
Ahmad Zahid berkata, pada masa ini sebahagian besar PPS masih menggunakan sekolah-sekolah namun premis berkenaan juga tidak mempunyai kemudahan lengkap untuk menampung mangsa banjir.
“Jadi, apa yang dilakukan oleh Nadma adalah mendirikan PPK di kawasan tertentu dan kita memilih sekolah-sekolah dan beberapa tempat lain.
“Apabila di luar musim banjir, sekolah-sekolah yang menjadi PPK itu akan menggunakan kemudahan yang ada untuk kegunaan sekolah dan komuniti,” katanya.
Pada program sama, Ahmad Zahid menegaskan, pemimpin utama parti perlu lebih terbuka dalam menjalin kerjasama politik dengan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding parti masing-masing.
Katanya, pemimpin utama parti harus lebih berlapang dada demi kepentingan rakyat dan jangan hanya fikirkan kepentingan sesuatu parti sahaja.
“Saya nyatakan bahawa kita sangat terbuka untuk menjalin gabungan. Jadi, kita mengadakan rundingan dengan semua pihak. Apa yang penting rakyat mesti diberi keutamaan supaya masalah politik ini dapat diselesaikan dengan sebaiknya.
“Saya sangat-sangat terbuka untuk menjalin kerjasama. Saya sebutkan bahawa pintu jangan ditutup rapat dan jangan dibuka terlalu luas,” katanya mengulas mengenai kerjasama menjalin Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17). – UTUSAN