Bantu lepasan SPM pilih bidang sesuai

Bantu lepasan SPM pilih bidang sesuai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula mencongak hala tuju masing-masing untuk menyambung pengajian selepas keputusan diumumkan kelak.

Ironinya, segala persiapan terutamanya permohonan kemasukan ke institusi pendidikan yang berseuaian perlu bermula daripada sekarang jika berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat asasi, diploma, sijil dan matrikulasi selain menunggu penempatan Tingkatan Enam.

Antara pilihan yang mereka ada ialah memasuki universiti awam, politeknik, institut latihan kemahiran awam (ILKA) dan kolej komuniti yang semuanya menawarkan pelbagai program pengajian mengikut syarat dan kriteria tertentu.

Maka penting di sini untuk kita membantu pelajar lepasan SPM ini membuat pemilihan yang betul dan keputusan yang tepat agar mereka ini tidak menyesal nanti.

Antara kesan signifikan jika gagal membuat pilihan yang betul mengikut kelayakan masing-masing adalah boleh gagal memperoleh sebarang penempatan atau tidak memperoleh bidang yang mereka minat.

Maka perlu ada persediaan yang sewajarnya sebelum membuat pemilihan dan juga permohonan terutamanya permohonan melalui Sistem UPU Online yang mencakupi kemasukan ke beberapa institusi pendidikan seperti UA, politeknik dan kolej komuniti.

Misalnya pelajar perlu memahami penentuan aliran seperti Pakej STEM A, Pakej STEM B, Pakej STEM C atau Pakej Kemanusiaan dan Sastera Iktisas, selain mengetahui syarat kelayakan yang telah ditetapkan untuk setiap bidang pengajian dengan mengambil kira pengiraan merit yang diperoleh.

Ibu bapa pula perlu elak memberi tekanan kepada anak mereka dengan meminta memilih program yang mereka mahukan sebaliknya berbincang dan dapatkan pandangan anak tentang minat mereka terlebih dahulu. Ibu bapa perlu membantu membuka mata dan minda anak untuk melihat potensi dan kemampuan yang mereka miliki kerana ada dalam kalangan pelajar yang takut dan tidak yakin dengan diri sendiri.

Selain itu, masa hadapan pasaran kerjaya dalam tempoh lima tahun akan datang juga perlu diteliti agar bidang pengajian kita kelak sesuai dan relevan dengan pasaran kerjaya pada ketika anak ini tamat pengajian.

Secara prinsipnya baik pelajar mahupun ibu bapa perlu berpijak di bumi yang nyata dan bijak membuat pilihan mengikut kelayakan serta minat. Hakikatnya terlalu banyak peluang terbentang luas untuk pelajar lepasan SPM menyambung pengajian khususnya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan ketika ini kerajaan sedang merangka pelbagai inisiatif untuk memperkasa TVET sebagai agenda nasional.- UTUSAN

Noor Mohamad Shakil Hameed Yang Dipertua PIBG SMK Seri Serdang Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN