PETALING JAYA: Banjir di Sarawak semakin pulih apabila sebanyak 32 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah ditutup sejak semalam.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan bahawa banjir di lima daerah membabitkan Kuching, Bau, Asajaya, Saratok dan Kapit hampir pulih sepenuhnya.
Kebanyakan mangsa sudah pun dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak semalam.
Berikutan itu, jumlah PPS yang aktif sehingga jam 8 pagi ini berjumlah 46 dengan mangsa yang masih berlindung seramai 10,068 daripada 2,963 keluarga.
Daripada 46 PPS yang masih aktif, Miri mencatat jumlah tertinggi iaitu 13, Serian (9), Bintulu (8), Sibu (6), Samarahan (6) dan Mukah (4).
Bintulu pula mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 4,901, Serian (1,744), Miri (1,391), Sibu (1,147), Samarahan (743) dan Mukah (142).
Banjir luar biasa melanda Sarawak bermula 29 Januari lalu sehingga jumlah yang terpaksa berlindung di 63 PPS mencecah lebih 13,000.
Sementara itu, tiga PPS turut dibuka iaitu dua menempatkan 170 mangsa tanah runtuh di Miri dan satu lagi menempatkan 37 mangsa kebakaran rumah panjang di Kanowit. – UTUSAN