KUALA LUMPUR: Malaysia diberi penghormatan untuk bekerjasama dengan Jepun dalam membantu membangunkan semula Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun usaha tersebut memerlukan tempoh yang lama serta menelan kos yang tinggi, ia merupakan tanggungjawab antarabangsa yang harus dipikul oleh negara-negara yang menyokong kebebasan Palestin.
“Ada yang mengatakan ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Hakikatnya, kita tidak menyusukan kera di hutan dan anak di rumah tidak mati kelaparan.
“Ini adalah tanggungjawab antarabangsa, lebih-lebih lagi sebagai negara yang menyokong Palestin menjadi sebuah negara merdeka.
“Usaha ini juga akan membawa negara-negara sepemikiran untuk bersama-sama memikirkan bagaimana membina semula Palestin yang pastinya mengambil masa panjang,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang memintanya mengulas berkenaan usaha Malaysia bagi membantu pembangunan Gaza.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Januari lalu mengumumkan bahawa Malaysia akan memulakan usaha membangunkan semula Gaza dengan membina sekolah, hospital dan masjid.
Katanya, projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih luas dengan kerjasama Jepun, serta akan dilaksanakan dengan sokongan sektor swasta dan rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, langkah itu menerima kritikan daripada bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, yang berpandangan kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada keperluan dalam negara terlebih dahulu, terutamanya keadaan sekolah luar bandar yang daif serta kekurangan di hospital kerajaan.
Mengulas kritikan tersebut, Anwar menegaskan bahawa tanggungjawab Malaysia tidak hanya terhad kepada sempadan negara sahaja, malah meliputi usaha kemanusiaan sejagat.
“Saya ingin bertanya kepada mereka yang mengkritik, di manakah perasaan belas kasihan dan ihsan kita?” katanya.
Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (Ceapad) yang bakal dipengerusikan Malaysia bersama Jepun dijangka menjadi platform penting dalam usaha membangunkan semula Gaza dan membantu rakyat Palestin menghadapi masa depan yang lebih baik. – UTUSAN