BATU PAHAT: Seorang lelaki warga Nepal yang ditahan atas kesalahan membunuh rakan sekerja warga senegara disambung reman selama tujuh hari bermula hari ini.
Mahkamah Majistret Batu Pahat di sini, membenarkan tempoh reman terhadap lima warga asing termasuk suspek utama yang disyaki menikam rakan sekerja dengan pisau hingga maut.
Perintah lanjutan tempoh reman dikeluarkan Majistret Arun Noval Dass terhadap kelima-lima suspek berusia 22 hingga 27 tahun bermula esok sehingga Ahad depan.
Ia membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas seorang pekerja kilang warga asing berusia 30 tahun ditemui mati akibat ditikam rakan sekerja di asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Sri Gading, pada 9 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian itu tercetus daripada provokasi membabitkan sekumpulan pekerja warga asing, pada jam 11.30 malam.
Beliau berkata, suspek bekerja sebagai operator kilang ditikam beberapa kali di badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil bedah siasat oleh pakar patologi forensik Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan dalaman akibat ditikam objek tajam.
“Dalam kejadian ini, suspek utama berusia 24 tahun ditahan bersama empat yang lain bagi membantu siasatan berhubung insiden ini.
“Pada masa sama, polis turut menemui senjata digunakan dan barang kes itu dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan. – UTUSAN