PEKAN: Bangkai ikan paus yang ditemukan terdampar di Pantai Sungai Miang di sini berkemungkinan. jenis Bryde atau Fin berdasarkan keadaan bangkai yang ditemukan.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, analisis eDNA atau enviromental DNA detection akan dilakukan bagi menentukan spesies paus itu memandangkan bangkai tersebut sudah reput.
“Bertindak atas maklumat awam, pasukan dari Pejabat Perikanan Negeri Pahang bersama Institut Penyelidikan Perikanan Rantau Abang (IPPRA) Terengganu turun ke lokasi untuk meninjau keadaan bangkai berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati bahawa bangkai paus tersebut sudah lama mereput dan menyebabkan kesukaran dalam proses pengecaman spesies,” katanya di sini hari ini.
Adnan berkata, di bawah Akta Perikanan 1985, spesies paus dilindungi di bawah peruntukan berkaitan spesies marin terancam dan sebarang gangguan ataupun eksploitasi terhadap hidupan laut tersebut adalah dilarang dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Menurutnya, jabatan akan terus memantau situasi tersebut dan mengambil tindakan lanjut sekiranya diperlukan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Miang, Muhammad Karim, berkata, bangkai paus berkenaan ditemukan oleh pemancing kira-kira pukul 4.45 petang semalam.
Katanya, beliau percaya bangkai berkenaan dihanyutkan ke pantai berkenaan ketika air pasang besar minggu lalu.
“Selepas ini penduduk kampung bercadang bergotong-royong menanam bangkai itu kerana ia sudah busuk dan berulat. Sebelum ini penduduk pernah menemukan bangkai paus terdampar di kawasan pantai di sini tetapi saiznya kecil sahaja,” ujarnya. – UTUSAN