JOHOR BAHRU: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara dua tahun akibat kesalahan dadah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba merasuah seorang anggota polis di Segamat, Oktober tahun lalu.
Walau bagaimanapun, tertuduh, Samsuri Arijan, 48, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa memberi suapan berjumlah RM3,700 kepada seorang anggota polis berpangkat sarjan untuk melepaskan dirinya yang ditahan kerana memiliki dadah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat pada pukul 6.55 petang, 14 Oktober tahun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Faizal Kamaruzaman meminta mahkamah tidak memberikan jaminan kerana tertuduh sedang menjalani hukuman penjara dua tahun berserta tiga sebatan di Penjara Kluang sejak 6 Februari lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam bela.-UTUSAN