PETALING JAYA: Baltej Singh Dhillon yang mencipta sejarah apabila menjadi kelahiran Malaysia pertama yang berkhidmat sebagai pegawai di Polis Diraja Kanada (RCMP) dilantik sebagai Senator di Kanada.
Baltej, 58, juga merupakan Sikh berserban pertama yang berkhidmat sebagai pegawai di RCMP dilantik oleh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, Jumaat lalu sebagai tanda sokongan terhadap kepelbagaian dan keterangkuman.
Ini kerana beliau merupakan salah seorang anggota polis yang mencipta sejarah dengan berpegang teguh kepada tradisi Sikh apabila tetap memakai serban dan berjanggut semasa bertugas meskipun menghadapi tentangan hebat ketika diterima masuk ke RCMP pada tahun 1990.
Baltej yang berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang berkhidmat dalam RCMP sebagai seorang Sikh, warga Malaysia dan Kanada yang menggunakan serban.
“Sebagai seorang Senator, saya berdedikasi untuk mewakili kepentingan dan suara semua rakyat Kanada.
“Bersama-sama, kita akan berusaha untuk membina sebuah negara yang lebih inklusif, makmur dan saksama.
“Dalam masa yang tidak menentu ini, adalah penting untuk kita bersatu sebagai sebuah negara untuk menghadapi cabaran di hadapan kita,” katanya.
Sebelum ini, selama tujuh tahun, Baltej merupakan satu-satunya anggota yang memakai serban sehingga seorang lagi lelaki Sikh ditempatkan di Burnaby, British Columbia pada akhir 1990-an.
Selain Baltej, seorang lagi anak kelahiran Malaysia, Yuen Pau Woo yang juga seorang pembuat dasar awam serta pakar dalam hal ehwal Asia turut menyertai Parlimen Kanada.
Pau Woo, yang dilahirkan di Johor Bahru, berpindah ke Singapura bersama keluarganya tidak lama kemudian.
Beliau berhijrah ke Kanada pada 1988 dan dilantik ke Senat pada 2016.
Mengulas mengenai kekecewaan Baltej apabila dilontar kata-kata kasar terhadap diri dan agamanya, beliau berkata itu semua adalah masa lalu.
“Saya tidak menyimpan niat buruk terhadap mereka.
“Mereka mengakui bahawa keputusan membenarkan penganut Sikh berkhidmat dengan RCMP dengan serban dan perkara-perkara kepercayaan mereka adalah keputusan yang tepat,” katanya yang bersara pada tahun 2019 selepas 30 tahun berkhidmat.
Sehingga tahun 2021, terdapat 771,790 orang Sikh yang tinggal di Kanada, sekaligus menjadikan Kanada, komuniti Sikh kedua terbesar di dunia, selepas India. – UTUSAN