PETALING JAYA: Beberapa kawasan di utara tanah air dilanda cuaca panas dengan suhu mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius.
Menurut Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), dua daerah yang terlibat ialah Kuala Kangsar, Perak dan Baling, Kedah.
“Met Malaysia mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) bagi dua buah daerah di utara tanah air.
“Suhu panas tahap berjaga-jaga dikategorikan apabila suhu maksimum harian sesuatu kawasan itu mencecah 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” katanya dalam kenyataan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, cuaca panas dan kering yang melanda sebahagian kawasan di utara Semenanjung Malaysia berpunca daripada fenomena Madden-Julian Oscillation (MJO) atau Ayunan Madden-Julian yang dijangka berlarutan hingga Mac depan.
Fenomena MJO berlaku akibat interaksi antara lautan dan atmosfera, yang menyebabkan kemunculan sistem perolakan atmosfera berskala besar di bahagian barat Lautan Hindi sebelum bergerak ke timur merentasi Malaysia dan Indonesia hingga ke Lautan Pasifik.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, fenomena cuaca panas dan kering yang sedang melanda ketika ini merupakan kejadian berulang yang berlaku setiap tahun dari Februari hingga Mei.
“Dalam tempoh ini, suhu harian tertinggi boleh melebihi 35 darjah Celsius pada awal petang. Bacaan suhu tertinggi yang direkodkan di stesen Meteorologi MetMalaysia pada 11 Februari 2025 ialah 36.1 darjah Celsius di Felda Teloi Kanan, Baling, Kedah.
“Selain itu, gelombang haba dan jerebu setempat juga berpotensi berlaku dalam tempoh ini. Namun, keadaan dijangka tidak seteruk tahun 2024 berikutan pengaruh La Niña lemah yang sedang berlaku dan dijangka berterusan hingga pertengahan tahun ini,” katanya. – UTUSAN