PETALING JAYA: Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam sistem kehakiman merupakan langkah dalam memastikan akses kepada keadilan lebih inklusif terutamanya bagi masyarakat yang lebih fasih dalam bahasa kebangsaan.
Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan diperincikan lagi dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Kata beliau, akta tersebut menetapkan bahawa semua prosiding mahkamah hendaklah dijalankan dalam bahasa kebangsaan kecuali dalam keadaan tertentu yang memerlukan penggunaan Bahasa Inggeris bagi tujuan keadilan.
“PPMM menggesa supaya pemerkasaan Bahasa Melayu dalam sistem perundangan diperluaskan ke peringkat tertinggi, termasuk penggunaan sepenuhnya dalam penghujahan lisan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.
“Selain itu, penggunaan Bahasa Melayu dalam hujahan bertulis di semua peringkat mahkamah dan penulisan alasan penghakiman dalam Bahasa Melayu bagi kes-kes yang diputuskan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan.
“Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam sistem kehakiman juga akan memastikan akses kepada keadilan lebih inklusif, khususnya bagi masyarakat umum yang sebahagian besarnya lebih fasih dalam bahasa kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran mengingatkan pengamal undang-undang supaya tidak ‘anak tirikan’ Bahasa Melayu dalam bidang kerjaya mereka.
Kata beliau, peguam perlu fasih menggunakan Bahasa Melayu meskipun kebanyakan silibus pembelajaran khususnya dalam Sijil Amalan Guaman (CLP) dalam Bahasa Inggeris.
“Betul, kita berpandangan peguam-peguam (memang) perlukan kredit untuk Bahasa Melayu di Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk jadi peguam cara.
“Di mahkamah semua (prosiding) dijalankan dalam Bahasa Melayu tapi jangan kita lupa kebanyakan buku, saya boleh cakap lebih 90 peratus adalah dalam Bahasa Inggeris. (Namun mereka) juga masih perlu fasih dalam Bahasa Melayu. Jangan anak tirikan Bahasa Melayu,” katanya di Dewan Rakyat. – UTUSAN