KUALA LUMPUR: Berang rumah tangga diperkatakan, pelakon, Uqasha Senrose, meminta individu yang mencetuskan khabar angin untuk tampil memberikan bukti kononnya dia hadir ke mahkamah syariah, baru-baru ini.
Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, terkejut mendengar tuduhan tidak berasas tersebut selain menegaskan hubungannya dengan suami yang juga pelakon, Kamal Adli berada dalam keadaan baik.
“Saya terkejut bila dengar dakwaan tersebut, saya tidak tahu dari mana datangnya ura-ura mengatakan saya ke mahkamah syariah. Jadi saya tidak boleh mahu komen.
“Demi Allah, saya tidak pernah jejakkan kaki saya ke mahkamah syariah. Kalau betul sana ke sana, periksalah ada nama saya atau tidak.
“Saya memang nafikan seratus peratus dakwaan tersebut. Selagi saya boleh jaga rumah tangga, saya akan jaga sebaiknya.
“Boleh beri bukti saya pergi mahkamah mana? Lokasi mahkamah pun saya tidak tahu,” ujarnya.
Uqasha ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan pertunjukan fesyen Hikayat Ariani Karya Seindah Busana di Kuala Lumpur Convention Centre.
Walaupun sering diasak berkenaan spekulasi rumah tangga, Uqasha bersyukur kerana tidak mudah tertekan membolehkannya memberi fokus kepada keluarga.
“Setiap rumah tangga tiada yang indah semuanya. Takkan saya mahu cerita semua dalam kain kepada semua.
“Alhamdulillah saya tidak tertekan dengan kata-kata orang semua. Saya rasa tiada apa yang nak dirisaukan.
“Mulut orang kita tidak boleh tutup jadi lebih baik saya dan Kamal fokus cari rezeki untuk besarkan anak kami,” katanya lagi.
Terdahulu, Kamal Adli turut menafikan dakwaan dia dan isteri, Uqasha Senrose, hadir ke mahkamah syariah bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga.
Menurut Kamal, bercerai bukan pilihan dan hampir mustahil ke arah itu kerana kasih sayangnya terhadap keluarga kecilnya terlalu mendalam.
Untuk rekod, pasangan ini telah bernikah pada 5 November 2021 dan dikurniakan cahaya mata, Hawra Uqaira. -UTUSAN