Ramahnya kekal sama seperti dahulu. Ternyata, walau setelah sekian lama tidak bertemu mata dengannya, Sherry Ibrahim, tetap dengan sifat aslinya.
Seorang wanita yang merendah diri, lembut menyusun tutur kata selain tenang memberi jawapan meskipun pertanyaan yang dilontarkan penulis sedikit mengusik jiwanya secara peribadi di suatu petang menuju senja tempoh hari.
Sepotong pertanyaan ringkas. Tentang apa yang ingin dilakukannya andai masa dapat diundur kembali setelah meniti hampir 42 tahun perjalanan hidup ini. Seumpama isi cerita dalam naskhah terbaharu lakonannya, Gadis Masa arahan Yusuf Yunus di saluran Viu.
Pertanyaan yang agak berbeza, namun entah mengapa seakan sukar diluahkan saat dijentik penulis akui Sherry.
“Kalau boleh patah balik ya? Jika ada peluang itu, rasanya saya akan cuba mencintai diri sendiri dahulu. Sebabnya, saya ini selalu mengutamakan orang lain, lebih banyak memberi daripada menerima. Saya selalu menjadi seseorang yang sentiasa dicari orang lain, tidak salah pun, tetapi sesekali saya juga mahu merasai hal yang berbeza.
“Saya tidak mahu begitu lagi. Saya mahu orang menyayangi saya lebih daripada saya menyayangi mereka. Mungkin sebab itulah kita selalu dengar frasa sayangi diri sendiri. Bila fikir semula, ada benarnya.
“Kita kena sayangi diri sendiri dahulu sebelum menyayangi orang lain. Kedengaran mudah sahaja bukan? Namun ya, benda itu betul sebab selama ini saya selalu menjadi manusia yang sentiasa memberi, sentiasa kisah pasal orang, sayang orang, sedih pasal orang, tetapi tidak menerima yang serupa daripada mereka,” luahnya.
Bukan mahu meletakkan alasan, tetapi kata Sherry, sejak berusia 18 tahun dia telah menelan kelelahan bekerja dan menggalas tanggungjawab sendirian tanpa bantuan sesiapa.
Malah, sejajar dengan pertanyaan tadi, Sherry akui, sebelum ini pernah sahaja hatinya diam-diam terdetik untuk enggan memilih bidang seni sekali gus tidak mahu menggalas kerjaya sebagai seorang pelakon.
“Kalau dapat putar masa, saya juga tak nak jadi pelakon. Tak mahu! Sebenarnya saya tak mahu pun jadi pelakon. Sejak dari kecil saya hendak jadi penyanyi, daripada zaman persekolahan, memang suka menyanyi.
“Saya buat kerja lakon asalnya sebab nak cari duit sahaja masa awal-awal dahulu. Jadi, kalau dapat peluang ubah masa, saya nak buat benda lain. Bukan bidang hiburan,”katanya.
Mendengarkan jawapan sebegitu, penulis cuba meneka, adakah setelah 24 tahun bergelumang dengan dunia seni, maka Sherry sebenarnya sudah muak melihat begitu banyak sisi hitam dan putih yang terwujud dalam ruang ini?
Maklum sahaja, semua juga tahu bahawa dunia seni ini tidak cuma tentang glamor dan populariti semata. Tidak semua terpapar indah.
“Ia bagai satu beban yang harus dipikul atas nama kita ini seorang figura awam. Tetapi, adakalanya hentaman yang kita terima bersifat keterlaluan. Orang tak kenal kita, tetapi mereka boleh cakap pasal kita.
“Bagi saya, ia tidak adil. Kecuali, anda adalah seseorang yang boleh beralas dengan kepura-puraan, awak okey untuk dilihat seperti itu dan okey untuk sentiasa memakai ‘topeng’ itu.
“Saya bukan orang sebegitu jadi ia membuatkan saya penat bila terpaksa berpura-pura okey, sudah 20 tahun lebih begini. Sebab itu, adakala saya rasa alangkah seronoknya jika memiliki sebuah kehidupan yang normal,”katanya.
Akui anak sulung daripada tiga beradik ini, sebelum bergelar selebriti, dia juga cuma orang biasa yang menjalani kehidupan normal.
“Ketika itu, saya banyak ke luar negara melancong dan melihat pelbagai perbezaan persepsi. Paling penting, saya tidak perlu berpura-pura untuk jaga hati orang lain.Sekitar 2018, saya juga ada berehat sekejap daripada dunia seni dan bekerja dalam bidang penerbangan.
“Ketika itu, orang kata saya berhenti berlakon kerana kecewa dengan percintaan. Padahal, saya buat kerja itu kerana benar-benar merindui bidang itu. Kebetulan lulus temu duga, saya pergi.
“Bagaimanapun, tidak sepenuhnya saya membenci dunia hiburan kerana ada juga banyak pelajarannya yang saya raih. Bukan sebab fikir mahu glamor sahaja, tidak. Tetapi semasa saya kembali ‘terbang’, saya rasa gembira dapat jadi diri sendiri,”katanya.
PENYESALAN?
Sengaja mengusik jiwanya dengan pertanyaan mengenai penyesalan dalam hidup, Sherry bagaimanapun mengakui mungkin perkataan itu terlalu besar untuk menggambarkan keseluruhan perjalanan hidupnya.
Namun, sebagai seorang hamba-Nya yang kerdil, Sherry sedar, apa sahaja yang pernah berlaku dalam hidupnya adalah satu pengajaran dan proses pembelajaran yang akan diingati sehingga akhir hayat.
“Saya tak nak cakap menyesal, tetapi ia lebih kepada pengajaran supaya saya tidak mengulangi kesilapan. Tak boleh cakap menyesal sebab Allah sudah aturkan jalan hidup kita. Kalau kita ulangi kesilapan itu, bermakna kita bodohlah.
“Seharusnya perlu bersyukur ia terjadi dalam hidup kerana ia menjadikan saya lebih kuat dan tahu untuk menghargai orang sekeliling. Saya pun pernah sahaja berada di titik terendah dalam hidup tetapi saya anggap itu semua proses pembelajaran tak kisahlah daripada apa pun aspek itu, baik kerjaya, percintaan dan hal peribadi lain,”ujarnya.
KAHWIN JADI SOALAN LAZIM
Memandangkan Sherry masih belum mendirikan rumah tangga sehingga kini, pelakon ini tentunya tidak mampu melarikan diri daripada pertanyaan berhubung perihal yang satu ini.
Kata Sherry, sebagai manusia biasa, adakalanya dia juga berasa mual untuk menjawab pertanyaan yang serupa kerana baginya, memberi kefahaman kepada orang ramai itu benar-benar memenatkan dirinya.
“Sebenarnya, memang penat. Sebab itulah saya suka berdiam diri. Tetapi, kadang-kadang berdiam pun, saya kena pijak. Kadangkala saya kena juga respons kerana orang yang bercakap itu seolah-olah tahu diri kita.
“Adakala saya saya pun kena jaga kesihatan mental sendiri. Syukurlah saya ada keluarga dan kawan-kawan rapat yang tahu dan kenal siapa saya sebenarnya dan mereka sentiasa menjadi tulang belakang saya.
“Terus-terang, saya sebagai wanita, mestilah mahu berkahwin dan punyai keluarga sendiri. Tetapi kalau jodoh belum sampai, saya pun hanya mampu mendoakan. Saya juga mengharapkan doa yang sama daripada semua orang. Doa yang baik-baik ya,”katanya.