KUALA LUMPUR: Pelakon, Azri Iskandar memaklumkan masih dalam proses pemulihan susulan pembedahan hernia yang dilakukannya tahun lepas.
Azri atau nama sebenarnya, Azri Iskandar Zulkiffly Iskandar bertindak merahsiakan perkara itu kerana enggan mencetuskan kerisauan dalam kalangan mereka yang mengenalinya.
“Saya lakukan pembedahan ini pada September tahun lepas, namun sebelum ini saya tidak mahu berkongsi mengenainya kepada umum supaya peminat tidak risau.
“Ia hanyalah pembedahan kecil, bukannya besar seperti pembedahan jantung dan sebagainya,” jelasnya yang ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pelakon berusia 57 tahun itu juga memberitahu dia terpaksa melepaskan tawaran berlakon yang membabitkan aksi lasak bagi membolehkan kesihatannya pulih sepenuhnya.
“Saya kena jaga diri selepas pembedahan kerana masalah tersebut boleh berulang kalau saya melakukan kerja-kerja yang terlalu berat.
“Dan disebabkan faktor usia, tubuh tidak lagi kuat seperti dahulu. Jadi saya kena pantau aktiviti saya.
“Buat sementara waktu ini saya terpaksa tolak tawaran berlakon yang membabitkan babak-babak pertarungan. Selain daripada itu, saya tak ada masalah,” kongsinya. – UTUSAN