KAJANG: Mahkamah Sesyen semalam mengenakan hukuman penjara tujuh tahun terhadap lelaki warga Israel, Avitan Shalom yang didakwa bagi dua pertuduhan melibatkan pemilikan peluru dan senjata.
Dalam prosiding di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini, Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh menetapkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah bagi dua pertuduhan yang dikemukakan kepadanya iaitu utama dan pilihan.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi pertuduhan utama dan tujuh tahun untuk pertuduhan pilihan.
“Hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 28 Mac 2024. Barang tertuduh iaitu pasport antarabangsa, 14 kredit kad dan empat telefon bimbit diserahkan kepada penjara dalam tempoh 14 hari,” katanya.
Mengikut pertuduhan utama, Avitan, 39, didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu memiliki enam senjata api jenis Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-dua sekali.
Perbuatan itu didakwa dilakukan sekitar 6.46 petang, pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac tahun lalu di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memberitahu mahkamah bahawa peguam mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), untuk memohon pertuduhan kedua diberikan pertuduhan pilihan kepada anak guamnya.
“Tertuduh mahu mengaku bersalah terhadap pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan dan bersedia menjalani hukuman penjara maksimum tujuh tahun. Lanjutan daripada representasi yang dikemukakan itu, pada 20 Februari lepas, AGC telah membalas representasi tersebut dan bersetuju dengan representasi yang dipohon tertuduh,” katanya.
Mendengar perkara itu, peguam Datuk Naran Singh yang mewakili Avitan mengesahkan mengenai representasi itu.
Sementara itu, berhubung rayuan Naran berkata anak guamnya yang merupakan pemilik syarikat pembekalan perubatan di New York, mempunyai dua anak lelaki dan seorang perempuan masing-masing berumur 16, 10 dan sembilan tahun manakala isterinya tidak bekerja dan kesemuanya berada di Israel.
“Tertuduh juga bersetuju untuk menjalani hukuman penjara tujuh tahun yang mana hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 28 Mac 2024. Selain itu, tertuduh mohon pasport antarabangsa, 14 kredit kad dan empat telefon bimbit milik tertuduh diserahkan kepada penjara,” katanya.
Prosiding sebutan kes Avitan yang sebelum ini diadakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dijalankan buat pertama kali di Penjara Kajang semalam.
Perbicaraan kes itu yang ditetapkan selama 14 hari bermula 19 Mac ini sehingga 26 Jun juga akan dijalankan di lokasi sama. – UTUSAN