KOTA TINGGI: Dua lelaki, termasuk seorang warga emas ditahan kerana memiliki senjata api disyaki digunakan untuk berburu secara haram di sekitar daerah ini dalam satu operasi di ladang Pasir Panjang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota bahagian risikan dan operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman telah melakukan pemeriksaan di sebuah premis di ladang berkenaan dan menahan dua suspek tersebut pada pukul 12 tengah hari.
“Pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki berumur 65 dan 39 tahun dan merampas senjata api dan komponennya, antaranya selaras senapang patah, 26 unit komponen senapang patah dan enam kotak yang mengandungi 170 butir peluru.
“Turut dirampas sebuah kereta Proton Wira, dua telefon bimbit dan 11 unit peralatan mesin,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, di sini hari ini.
Suspek pertama berusia 65 tahun mengakui memiliki senapang patah yang digunakan untuk memburu dan tidak memiliki lesen.
“Suspek utama berkenaan mahir dalam membuat dan membaiki senjata api, difahamkan belajar daripada arwah bapa mentuanya yang memiliki lesen sah,” katanya.
Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN