KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu menjadi sebuah organisasi pembelajaran (Learning Organisation) bagi membolehkan setiap anggota kekal relevan pada masa hadapan.
Panglima ATM, Jeneral Datuk Mohd. Nizam berkata, pembelajaran secara berterusan bagi membolehkan anggota bersiap sedia terhadap sebarang perubahan baharu.
“Setiap warga mesti didedahkan kepada ilmu kemahiran baharu agar organisasi ini kekal relevan dalam menghadapi tuntutan perubahan serta perkembangan yang akan datang.
“Faktor terpenting organisasi pembelajaran ini adalah kita akan terus belajar sesama kita dan mengamalkan amalan terbaik (best practices),” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM Ke-23, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, melalui Professional Military Education (PME), latihan dan pendidikan profesional yang berpaksikan doktrin bersama menjadi landasan utama dalam melahirkan anggota kompeten cekap teknikal dan taktikal.
Pada masa sama, katanya PME juga membolehkan anggota mahir memanfaatkan teknologi dalam penugasan di pelbagai penempatan.
“Pendekatan ini memenuhi keperluan pemodenan ATM, memperkukuh keupayaan pertahanan negara dan membentuk pemimpin berwawasan serta pemikiran strategik.
“Konsep pembelajaran berterusan harus difahami di dalam menzahirkan warga ATM yang berkemampuan, berpengetahuan dan berwibawa untuk mampu membawa ketumbukan ini merentasi masa,” katanya.
Selain itu, katanya, dalam memastikan PME dilaksanakan dengan berkesan, beliau mahu melihat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sebagai rakan strategik kepada ATM.
“UPNM berpotensi menjadi sebuah pusat kecemerlangan (Centre of Excellence) dalam bidang kepemimpinan dan strategi pertahanan.
“Sebagai satu-satunya universiti yang mendukung nama Pertahanan secara langsung, UPNM wajar berperanan sebagai agen untuk memperkukuh hubungan antara pendidikan, latihan dan keperluan strategik negara serta sebagai pusat melahirkan bakal pemimpin tentera yang boleh dipercayai dan berwibawa,” katanya. – UTUSAN