KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menumpukan kepada tiga pengurusan persepsi dalaman membabitkan anggota dan rakyat secara umum.
Panglima ATM, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar berkata, objektif itu menjadi keutamaan bagi membuktikan keupayaan angkatan pertahanan negara mampu melangkah ke hadapan.
Katanya, objektif itu akan digerakkan melalui Pelan Strategik Media selain akan membuat kajian impak sebaik sesuatu pelaksanaan dijalankan.
“Persepsi ini yang perlu kita lihat dan diperhalusi. Bagaimana kita menguruskan persepsi dalam keadaan yang terbaik.
“Menguruskan persepsi ini akan dilaksanakan bersama aktiviti lain bagi membuktikan bahawa ‘ini adalah kami dan ini hala tuju kami’.
“Interaktif bersama media itu sangat-sangat penting. Peranan media bukan hanya sekadar memaklumkan apa yang dilakukan (oleh ATM) tetapi kami akan buat kajian impak bagi setiap pelaksanaan. Dari situ kita akan bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM Ke-23, hari ini.
Terdahulu, persepsi negatif terhadap ATM digembar-gemburkan menerusi media sosial yang mempersoal tahap kemampuan angkatan itu.
Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, tiga pengurusan persepsi membabitkan sumber manusia, modal insan dan latihan itu akan menjadi bukti kepada orang awam tentang kemampuan ATM ketika ini.
Jelasnya, perkara itu berikutan terdapat hantaran di media sosial yang memperlekeh kemampuan dan pengurusan ATM.
“Kami akan menguruskan persepsi terhadap tiga perkara ini. Kami ingin buktikan kepada mereka bahawa kita ada dan bukannya seperti yang didakwa di media sosial hari ini.
“Jika dilihat di media sosial, mungkin mereka di luar sana rasa ingin tahu dan mungkin mereka kurang pengetahuan (tentang ATM).
“Justeru, kita akan memaklumkan (kepada mereka) hala tuju ATM yang sebelum ini telah disampaikan tetapi dengan lebih penjelasan agar kita dapat dilihat sebagai satu angkatan yang utuh dan bersepadu,” tegasnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Nizam memaklumkan persiapan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) kini mencapai 80 peratus.
“Kita sudah mencapai 80 peratus persiapan dan sebanyak 96 peratus jualan reruai telah dipenuhi. Kita menjanjikan sesuatu yang lebih jauh daripada sebelum ini, Insya-Allah,” katanya.-UTUSAN