KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mengadakan sesi pertemuan bersama Veteran ATM bagi memperjelas isu yang dibangkitkan golongan itu.
Panglima ATM, Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaffar berkata, sesi Town Hall itu akan diadakan dalam masa terdekat berhubung isu pencen, ganjaran dan faedah perubatan.
“Dalam sesi Town Hall ini, kami akan mendengar apa yang yang ingin diutarakan dan kami akan memaklumkan apakah inisiatif yang terkini yang kami ada serta menjelaskan permasalahan.
“Mungkin selama ini the hubungan secara terus itu tidak berlaku menyebabkan terlalu banyak rungutan-rungutan berlaku di luar sana. Seolah-olah kami tidak peka langsung dengan rintihan yang disuarakan oleh veteran.
“Justeru, sesi ini untuk kita one for all (secara bersama) memastikan bahawa mesej yang ingin disampaikan itu sampai kepada mereka dan untuk mendengar apa yang mereka ingin menyuarakan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Mula Tugas dan Ucaptama Panglima ATM Ke-23, hari ini.
Sebelum ini, kumpulan veteran ATM menuntut empat perkara iaitu penyelarasan pencen, tempoh perkhidmatan, pengampunan kepada pegawai atau anggota yang dijatuhkan hukuman dan Pencen Hilang Upaya (PHU).
Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, sesi pertemuan itu juga bagi membolehkan sebarang soalan dan masalah diajukan oleh veteran dijawab secara terus berbanding bertukar kenyataan menerusi media.
“Sesi ini juga untuk menjelaskan kedudukan sekarang, kedudukan lalu dan perbandingan apa yang berlaku.
“Kadang-kadang ada isu yang disuarakan mungkin boleh dijawab secara terus. Veteran kita (sebelum ini) menjawab dalam akhbar ataupun media-media sosial.
“Saya juga telah membaca dalam media sosial banyak perkara-perkara yang sebenarnya telah dilaksanakan tetapi tidak disampaikan secara menyuruh kepada semua ahli-ahli veteran,” jelasnya. – UTUSAN