Pasukan Astral baru-baru ini mencipta sejarah sebagai pasukan pertama daripada Malaysia yang berjaya melangkah ke peringkat akhir dalam pertandingan berprestij ‘Model Satellite Competition’, yang diadakan di Teknofest, Turkiye dari 18 hingga 20 September lalu .
Pasukan Astral ini terdiri daripada pelajar-pelajar tahun tiga dan empat Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Universiti Sains Malaysia (USM).
Dalam saingan sengit melibatkan 165 pasukan daripada seluruh dunia, Astral berjaya menempatkan diri dalam kelompok 15 pasukan terbaik di Teknofest 2024, salah satu acara teknologi dan aeroangkasa terbesar di dunia.
Kejayaan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa, malah membuktikan keupayaan inovasi serta bakat kejuruteraan luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak tempatan.
Pertandingan tersebut menuntut para peserta untuk mereka bentuk, membina, dan melancarkan model satelit yang menyerupai fungsi satelit sebenar.
Rekaan Astral menampilkan modul penapisan moden yang mampu menangkap imej dalam pelbagai warna, menyerupai teknologi penapisan jalur lebar yang digunakan dalam sistem satelit sebenar.
Selain itu, satelit model mereka turut dilengkapi mekanisme pelepasan muatan secara autonomi dan mampu mengumpul data penting seperti lokasi, orientasi giroskop, pecutan, suhu, tekanan, altitud, dan kelembapan.
Sepanjang tempoh lapan bulan dari Januari sehingga Ogos 2024, Astral berjaya menempuh sembilan peringkat ujian saringan yang amat sengit.
Pihak juri Teknofest menilai kemajuan peserta-peserta dalam talian dan hanya yang berjaya layak untuk ke peringkat akhir di Aksaray Turkiye. Pada hari kemuncak pertandingan akhir, kemampuan satelit model yang telah dihasilkan sekali lagi diuji sebelum dilancarkan ke ketinggian 700 meter dengan menggunakan roket.
Kemampuan satelitmodel ini dinilai dari pelbagai segi termasuk spesifikasi mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh penganjur serta melepasi beberapa ujian termasuk ujian ketahanan, ujian komunikasi dan ujian pelepasan daripada roket. – UTUSAN