GEORGE TOWN: Kesemua negara anggota ASEAN secara sepakat bersetuju untuk menerima usul yang dibawa Malaysia pada sesi Permukiman Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) di Batu Ferringhi, kelmarin.
Usul-usul itu termasuk kerjasama pertahanan dalam bidang teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan keselamatan siber, keselamatan maritim serta Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).
Usul lain yang turut dipersetuju pada sesi tersebut ialah kerjasama dalam membangunkan industri pertahanan ASEAN, ancaman keselamatan daripada pelaku bukan negara serta risiko biosekuriti seperti ancaman pandemik dan penyakit berjangkit.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua usul tersebut akan dibentang ketika Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN atau ADMM yang sebenar, November nanti.
“Permukiman ini (ADMM) telah menerima semua perkara yang dibawa oleh Malaysia. Dan daripada perbincangan ini, ia akan dijadikan asas untuk mesyuarat rasmi ADMM kelak,” kata beliau.
Terdahulu, ketika berucap sempena pembukaan sesi permukiman itu, beliau berkata, negara anggota ASEAN yang kuat dan bersatu akan lebih bersedia untuk menghadapi landskap geopolitik yang semakin berkembang selain memastikan rantau ini kekal aman, berdaya tahan dan makmur.
Mohamed Khaled berkata, sehubungan itu, adalah penting untuk memberi tumpuan terhadap isu keselamatan yang boleh dianggap sebagai asas kepada pertumbuhan ekonomi, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, dalam hal ini, Malaysia menganggap bahawa soal keselamatan adalah cerminan kepada tema sesi permukiman ADMM kali ini iaitu ‘Kesepaduan ASEAN Demi Keselamatan dan Kemakmuran’.
“Dalam era di mana cabaran keselamatan semakin kompleks dan merentasi sempadan negara, kesatuan ASEAN serta kerjasama serantau yang kukuh adalah lebih penting berbanding sebelumnya.
“Rantau ini menghadapi ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang tidak boleh ditangani oleh satu negara secara bersendirian.
“Oleh itu, kita perlu meningkatkan kapasiti kolektif kita untuk bertindak balas dengan lebih berkesan dan proaktif terhadap cabaran ini,” ujar beliau.
Sesi Permukiman kali itu turut dihadiri oleh lebih 150 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN selain Timor-Leste selaku negara pemerhati.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ASEAN yang benar-benar berdaya tahan perlu inklusif serta memastikan bahawa semua negara anggotanya dilengkapi secara sama rata dalam menangani ancaman keselamatan.
“Pada masa yang sama, strategi keselamatan kita mesti bersifat lestari, menggunakan pendekatan jangka panjang dan berpandangan ke hadapan dalam kerjasama pertahanan bagi mengekalkan kestabilan rantau ini untuk generasi akan datang,” katanya.
Dalam ucapan yang sama, beliau turut menyentuh mengenai komitmen Malaysia selaku Pengerusi ADMM pada tahun ini untuk memajukan beberapa keutamaan pertahanan utama yang mencerminkan cabaran keselamatan semasa dan yang akan datang.
“Malaysia yakin bahawa melalui kerjasama dalam bidang-bidang kritikal ini, kita dapat memperkukuh keselamatan kolektif dan menyumbang kepada ASEAN yang stabil serta makmur,” katanya.-UTUSAN
USUL MALAYSIA YANG DITERIMA PADA SESI PERMUKIMAN ADMM
Kecerdasan Buatan (AI) dan Keselamatan Siber dalam Pertahanan
ASEAN perlu memanfaatkan potensi AI sambil memastikan aplikasi yang beretika dan bertanggungjawab dalam pertahanan.
Keselamatan Maritim
ASEAN mesti bekerjasama untuk memastikan keselamatan laluan perairan strategik di rantau tersebut serta melindungi operasi maritim daripada ancaman siber dan ancaman hibrid lain.
Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) termasuk Mencari dan Menyelamat (SAR)
ASEAN perlu meningkatkan persiapan kolektifnya dalam menghadapi bencana alam yang semakin kerap dan berintensiti tinggi.
Kerjasama Industri Pertahanan
Mengukuhkan industri pertahanan ASEAN adalah penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara luar serta rantaian bekalan serantau bagi meningkatkan keupayaan berdikari disamping menembusi pasaran global.
Ancaman Keselamatan daripada Pelaku Bukan Negara
ASEAN mesti meningkatkan persiapan dan kerjasama dalam menangani aktiviti rentas sempadan haram yang boleh menjejaskan perdagangan bebas dan kestabilan serantau.
Risiko Biosekuriti
Ancaman biologi bukan lagi isu kesihatan semata-mata tetapi juga risiko keselamatan yang serius. ASEAN perlu memperkukuhkan kesiapsiagaan dalam menangani ancaman pandemik dan penyakit berjangkit yang semakin meningkat.