KUALA LUMPUR : Ketahanan ekonomi ASEAN bergantung bagaimana setiap negara anggota menangani tiga cabaran utama dan kritikal dengan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN mesti menangani isu gangguan serta rantaian bekalan dengan keupayaan menjadi hab yang boleh dipercayai dalam perdagangan dan pelaburan global dengan mengurangkan kelemahan terhadap kejutan luaran.
Beliau berkata, asas perindustrian ASEAN perlu diperkukuh melalui pelaburan dalam pembuatan maju, semikonduktor dan teknologi hijau yang akan menjadi keutamaan.
“Kedua adalah aspek keselamatan tenaga dan kemampanan. Rangkaian Tenaga ASEAN serta pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui akan menjadi teras dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang mesra iklim dan berorientasikan jangka panjang.
“Sasaran Malaysia untuk mencapai 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 akan menjadi penanda aras bagi usaha kemampanan ASEAN secara lebih meluas.
“Ketiga, ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI). Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN mesti berfungsi sebagai pemangkin transformasi serantau dengan mengutamakan tadbir urus AI, keselamatan siber dan keterangkuman digital,” katanya dalam ucaptama dalam Persidangan China Asia Tenggara 2025 anjuran South China Morning Post (SCMP) di sini, hari ini.
Anwar berkata, sudah tiba masanya ASEAN bertindak segera, bersatu dan berwawasan tinggi untuk memastikan masa depan yang makmur bagi semua negara anggota.
Sekarang, jelasnya, bukan masa untuk perubahan beransur-ansur atau pemikiran jangka pendek.
Kata Perdana Menteri, sebaliknya, ini adalah masa untuk membuat keputusan berani, membentuk perkongsian transformatif dan berpegang teguh pada komitmen terhadap kemakmuran jangka panjang.
“Malaysia bersedia untuk memimpin ASEAN dengan kejelasan dan keyakinan. Namun, kepemimpinan bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata.
“Sektor perniagaan, akademik, usahawan dan masyarakat sivil juga mesti memainkan peranan dalam membentuk masa depan yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.
“Ketika Malaysia memperkukuh peranannya dalam ASEAN dan mempererat kerjasama dengan China, saya menggesa marilah kita membina masa depan berasaskan kepercayaan, inovasi dan aspirasi bersama,” katanya.
Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi ASEAN sejak Januari lalu, yang menandakan detik penting untuk negara.
Blok ekonomi dan dasar ASEAN, yang terdiri daripada 10 negara anggota Asia Tenggara, muncul sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak RM3.8 trilion pada 2023 dan gabungan penduduk berjumlah 677 juta.-UTUSAN