ASEAN GEMS mudahkan pelajar sambung belajar

ASEAN GEMS mudahkan pelajar sambung belajar

ZAMBRY ketika berucap di Pameran dan Forum Universiti ASEAN 2025 (AEF2025) di sini, hari ini - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 melancarkan ASEAN Global Exchange for Mobility & Scholarship (GEMS) yang merupakan platform biasiswa bagi membuka lebih banyak peluang untuk pelajar seluruh ASEAN meneroka pengalaman pembelajaran di negara serantau.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, hab digital sehenti itu berjaya mengumpulkan dana berjumlah AS$4 juta (RM17.5 juta) melibatkan 300 tajaan biasiswa hasil sumbangan dari pelbagai negara ASEAN dan sektor swasta.

Dengan pelancaran platform itu, katanya, Malaysia berhasrat untuk memperkasa generasi muda dengan akses yang lebih luas kepada pembiayaan akademik dan program mobiliti.

“Kita juga mengalu-alukan penyertaan universiti lain di ASEAN untuk menyokong inisiatif bagi membantu pelajar berpotensi yang kurang berkemampuan.

“Kita berharap ASEAN GEMS akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama serantau dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan inovasi.

“Semoga pelajar dan ahli akademik di seluruh ASEAN memanfaatkan peluang ini untuk mencipta masa depan yang lebih cerah,” katanya selepas melancarkan Pameran dan Forum Universiti ASEAN 2025 (AEF2025) di sini, hari ini.

Sejajar dengan Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini, buat julung kalinya Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi melancarkan AEF2025 yang dianjurkan selama dua hari.

Pameran yang pertama kali diadakan dan terbesar di ASEAN itu menampilkan lebih 90 pempamer dan pelajar mobiliti dari seluruh rantau, termasuk institusi dari Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste.

Zambry berkata, masa depan pendidikan di ASEAN perlu mempromosikan penggunaan kecerdasan buatan (AI), data raya dan teknologi metaverse dalam pendidikan.

Katanya, pembelajaran sepanjang hayat perlu ditingkatkan dengan mewujudkan inisiatif untuk latihan semula dan peningkatan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja.

“ASEAN juga perlu memastikan akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat termasuk komuniti terpinggir serta menggalakkan pembangunan mampan.

“Institusi pendidikan juga perlu dihubungkan dengan sektor industri bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan dan bersedia menghadapi pasaran pekerjaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya