BANGI: Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025 dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan, pelancongan, dan perdagangan,.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga sekali gus membuka peluang baharu buat Malaysia di peringkat serantau dan global.
Menurutnya, beliau berpuas hati dengan persiapan Kepengerusian ASEAN serta bangga dengan kesungguhan dan komitmen semua pihak.
Kata beliau, pelbagai bidang ditekankan antaranya semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan pusat data, perkukuh soal tenaga baharu serta kepentingan pertanian dan teknologi makanan.
“Soal kedua adalah kepentingan kita sebagai negara dagang mengambil peluang ini meningkatkan usaha dagang kerana ini sidang ASEAN pertama yang melibatkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China,” katanya pada sidang akhbar selepas Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia juga komited untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) dalam usaha memperluas skop dagangan negara.
“Tetapi yang istimewa ialah dalam setiap sidang (ASEAN) akan ada pameran dan persidangan besar-besaran yang dianjurkan bukan sahaja oleh kerajaan (tetapi) dengan kerjasama syarikat media, syarikat besar dunia seperti dari Arab, China, AS dan tentunya ASEAN,” katanya.
Anwar turut berkata, Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa juga akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dalam masa terdekat,
Kata Anwar, beliau (Ramaphosa) turut memberi dukungan bagi pihak Afrika untuk menyokong Kepengerusian ASEAN di Kuala Lumpur.-UTUSAN