PETALING JAYA: Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang baharu berkuat kuasa mulai 30 Januari.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi, pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas serta kepimpinan cemerlang beliau dalam sektor pertahanan negara.
Sebelum pelantikan ini, Arman Rumaizi merupakan Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 2022.
Beliau juga pernah memegang jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota serta Panglima Markas 2 Divisyen Pulau Pinang.
Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai penasihat ketenteraan kepada mantan Menteri Pertahanan dari 2014 hingga 2018.
Daripada segi akademik, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sains Sosial dalam Pengajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2012.
“Kementerian yakin dengan kepakaran dan rekod kepimpinan yang dimiliki, mampu menerajui UPNM ke tahap lebih tinggi, khususnya dalam aspek pentadbiran organisasi, pembangunan akademik serta penyelidikan berteraskan sains dan teknologi pertahanan bagi melahirkan tenaga mahir dalam sektor pertahanan dan keselamatan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad atas jasa beliau sepanjang menerajui UPNM sebelum ini. – UTUSAN