PETALING JAYA: Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ketujuh berkuat kuasa 16 Februari ini.
Watikah pelantikan beliau diserahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam satu majlis di pejabat beliau, semalam. Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Kementerian Pendidikan Tinggi menerusi kenyataan berkata, Arham memiliki kelayakan akademik cemerlang dengan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada tahun 1998 dan 1999.
Beliau turut memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Binaan (Construction Management) dari Loughborough University, United Kingdom pada 2003.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di UTM pada tahun 1999 dan pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah (Inovasi) di Pusat Inovasi dan Pengkomersialan, UTM dari 2010 hingga 2014.
Selain itu, Arham turut dipinjamkan ke Jabatan Pendidikan Tinggi selama lima tahun mulai 2014 sebagai Pengarah Bahagian Hubungan Industri sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) di UMK dari tahun 2019 sehingga kini.
“Dengan pengalaman luas dalam kepimpinan institusi dan pentadbiran organisasi di pelbagai peringkat, kementerian yakin beliau mampu menerajui UMK dalam memperkasa kecemerlangan akademik berteraskan inovasi serta melahirkan bakat terbaik negara terutama dalam bidang keusahawanan,” katanya.
Dalam pada itu, kementerian turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Prof. Dr. Razli Che Razak atas sumbangan beliau dalam memimpin UMK sebelum ini. – UTUSAN