GEORGE TOWN: Polis menahan seorang pegawai perubatan di sebuah hospital di sini, kelmarin kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh di tempat kerja.
Difahamkan, kejadian itu berlaku terhadap seorang pesakit wanita berusia 21 tahun.
Suspek dikatakan bertindak memperdaya wanita itu ketika mangsa menjalani pemeriksaan jantung sebelum cuba melakukan perbuatan tidak senonoh.
Suspek didakwa menyuruh mangsa membuka pakaian tanpa kehadiran jururawat wanita dan mangsa mengikut arahannya kerana menyangka ia adalah prosedur operasi standard (SOP) untuk pemeriksaan jantung, selain mengunci pintu bilik rawatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad ketika mengesahkan penahanan itu berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun ditangkap pada pukul 9.30 malam.
“Suspek kini direman selama empat hari sehingga 2 Mac bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN